Wednesday 11 February 2015

Nafas Cinta Bab 7

Pokok-pokok orkid tumbuh subur menghiasi kawasan tepi rumah Evelyn. Pelbagai jenis warna bunga orkid yang sedang kembang mekar menyerikan lagi taman mini tersebut.

Lincah Evelyn menyirami pokok-pokok orkid sebelum matahari naik. Setiap pasu dan gantungan pokok orkid dibelek oleh Evelyn. Daun kering atau ulat daun dibuang supaya pokok orkid akan tumbuh lebih subur.

Begitulah rutin Evelyn setiap pagi kalau dia ada di rumah. Andai dia keluar bekerja, Racha atau Igat akan mengambil tugas menyelengara taman mini ini.

Andy Igat selalunya dipanggil Igat oleh kaum keluarga dan orang kampung. Cuma orang tertentu sahaja yang memanggil dengan nama Andy termasuklah isterinya, Racha.

Angin dingin waktu subuh dengan aroma kopi kampung dari cawan Igat amat menyegarkan minda. Anak-anak pula masih tidur pulas, Igat, Racha dan Evelyn sudah bangun bersiap sedia untuk membawa Cattleya Orked pergi rawatan susulan dengan Doktor Pakar di Hospital Umum Kuching.

"Eve, Leya dah bangun. Kena siap cepat. Nanti orang ramai kat hospital." Tegur Igat dari gazebo yang terletak di taman mini.

Evelyn masih leka mencari ulat pada daun orkid yang mula berlubang.

"Eve, cepat sikit! Petang nanti pun boleh kelebek pokok-pokok orkid." Lebih tinggi intonasi suara Igat menyeru Evelyn agar mempercepatkan kerjanya.

"Sekejap!" Balas Evelyn sambil tangan masih laju membelai daun-daun dan bunga-bunga orkid.

"Tinggalkan dulu, kerja tu. Lambat  nanti...." Tekan Igat.

Menonong Evelyn berjalan meninggalkan pasu orkid yang terakhir dibelek, lalu menutup paip air. Dia memberhentikan langkah, berhenti dekat Igat menikmati air kopi.

"Anak benih Cattleya dah boleh dipindah. Lepas, balik dari hospital kita kena hantar ke ladang."

Igat panggung kepala...

"Petang kelmarin saya dah nampak, benih Cattleya cukup masa untuk dipindah. Nanti la... kita dahulukan hal Leya."

"Hurmm... jangan lambat sangat. Takut terbantut. Sayang." Ujar Evelyn meninggalkan Igat di situ.

Di dalam rumah, Racha sibuk menyiapkan sarapan pagi sementara anak-anak belum bangun. Cattleya Orked perlu disiapkan segera. Dia senang bangun pagi dan tidak mempunyai banyak kerenah. Sementara menunggu mandi pagi, Cattleya Orked akan bermain dengan barang mainan di atas katil.

"Leya, dah bangun, Kak?" Soal Evelyn kepada kakak iparnya.

Sambil memegang cerek air panas, Racha menoleh ke belakang memandang Evelyn.

"Dah. Tinggal nak bagi mandi sahaja. Air panas dah ada."

"Baik. Saya bagi Leya mandi dulu, Kak."

"Eve bagi Leya mandi, Akak sediakan breakfast. Lepas mandi makan dulu. Takut lapar pula kat sana. Bukan boleh percaya, masa appointment dah ada tapi tetap ambik masa juga, masih kena tunggu giliran. Pesakit ramai, doktor pakar kurang." Kata Racha memberikan pandangannya. Hakikatnya begitu, tugas doktor akan bertambah dengan bertambah bilangan pesakit.

"Lepas mandi saya bagi Leya breakfast."

Redup Racha memandang Evelyn mengendong si comel Cattleya Orked. Walaupun Cattleya Orked ada kekurangan tetapi dia tetap ada kelebihan yang tersendiri. Kasih sayang yang mereka beri walau tak sempurna tanpa restu Ayah di kampung tidak pernah memadamkan ikatan kasih mereka terhadap Cattleya Orked.

Bagi Igat, Evelyn dan Racha anak-anak Madeline Sumang tetap bersih tanpa dosa. Cuma kehadiran mereka tidak lengkap tanpa kehadiran seorang bapa di sisi mereka. Selagi nafas di dada selagi itulah mereka akan mengalas beban menjaga anak-anak Madeline Sumang. Terutama Cattleya Orked yang memerlukan penjagaan sepenuh masa dan lebih tumpuan berbanding dengan kanak-kanak biasa.

"Kak, petang nanti... Lepas balik dari hospital saya nak ke ladang orkid. Akak boleh tolong jaga, Leya?"

"Evelyn pergi ajer la. Akak ada kat rumah. Tak apa, tinggalkan Leya dengan Akak." Jawab Racha.

Bulat mata Racha bila melihat Carl Blume menggosok-gosok mata di celah pintu dapur.

"Kenapa bangun awal ni, Carl?" Soal Racha kepada Carl.

"Nak ikut, Mummy." Jawab Carl.

"Eh, mana boleh ikut. Mummy bawa Leya pergi hospital." Jawab Evelyn tegas.

Mulut comel Carl Blume mula menyengget.

"Dah, jangan nak nanggis. Tinggal ajer dengan Mama kat rumah." Pujuk Racha lembut. Lemah hatinya bila melihat anak lelaki ini mula ingin menanggis bila kemahuannya ditolak.

"Tak nak! Nak ikut Mummy juga!" Tegas Carl. Deraian airmata mula mengalir laju.

Tanggisan kuat Carl Blume sampai di luar. Jelas sangat pada pendengaran Igat. Menikmati air kopi pun terbantut.

"Carl, kenapa nanggis?" Soal Igat dari luar pintu dapur.

"Orang lelaki mana boleh menanggis. Ni, awal pagi dah nanggis." Sambung Igat sambil memujuk lembut.

"Nak ikut, adik Leya ke hospital." Jelas Carl Blume dalam sedu sedannya.

"Tak takut Auntie dan Uncle doktor kat sana nanti?" Soal Igat cuba mematahkan keinginan Carl Blume.

Carl Blume berjalan ke arah Igat.

"Carl tak takut. Carl janji tak nakal."

Racha dan Evelyn berpandangan sesama sendiri. Sungguh budak lelaki itu pandai membeli hati Igat. Sah kalah Igat bila dipujuk oleh Carl.

"Cepat, pergi mandi. Lambat, tinggal." Putus Igat.

"Igat!"

"Andy?"

Seru Evelyn dan Racha serentak. Tidak berpuas hati dengan keputusan untuk membawa Carl Blume bersama mereka.

"Biar la, dia ikut. Lagi pun dia kata bila besar nak jadi doktor. Bagi dia tengok sendiri keadaan di hospital." Jawab Igat tegas mempertahankan keputusannya.

"Tapi, Igat tempat tu tak berapa sesuai." Bantah Evelyn.

"Jangan fikir banyak sangat. Tak apa nanti saya perhatikan dia. Kamu uruskan hal Leya." Putus Igat.

Racha menyibukkan diri. Malas hendak berbalah di pagi hari. Tahu sangat hati lelaki bernama Andy Igat. Tak akan mudah mengalah dengan pendapat orang lain.

####

Wad Pediatric Hospital Umum Kuching dipenuhi oleh kanak-kanak yang mendapat rawatan susulan ataupun dimasukkan untuk rawatan intensif.

Saat itu, doktor pakar dan doktor pelatih berkesempatan untuk berjumpa dengan kanak-kanak yang menjalani rawatan dan ibu bapa mereka.

Riuh rendah suasana di dalam wad tersebut. Ada yang menangis, ada pula sedang berehat, manakala budak yang sihat sedikit ada yang berlari. Jururawat dan Doktor sibuk melayan pesakit. Termasuk Maximus Randell sibuk memeriksa seorang budak perempuan dalam lingkungan empat tahun.

Stateskop diletakkan di atas kanak-kanak tersebut. Satu persatu dia memeriksa bahagian penting anggota badan sambil membuat lawak jenaka. Kanak-kanak lebih mudah mesra, jika Doktor pandai melayan mereka.

"Pakcik, Nurul ada makan, minum, berak, kencing?" Tanya Maximus kepada Ayah Nurul.

"Ada, doktor."

"Sawan ada lagi tak?" Soal Maximus lagi.

"Dua hari ni, tak ada sawan."

"MRI, EEG dah buat?" Sambung Maximus.

"Dah, Doktor."

Maximus memanggil Jururawat yang bertugas.

"Nurse, uruskan Nurul untuk discharge hari ini."

Nurul dan Ayahnya tersenyum lebar. Arahan Maximus kepada Jururawat sangat menggembirakan Nurul. Dua minggu di tahan dalam wad seakan setahun lamanya.

"Terima kasih, Doktor." Kata Ayah Nurul.

"Ambil ubat di farmasi lepas tu minta surat keluar dari nurse. Urusan Pakcik selesai, boleh bawa Nurul balik." Jelas Maximus.

"Err... Doktor, bila tarikh check up?"

"Saya akan tetapkan tarikh rawatan susulan. Tapi... kalau ada apa-apa terjadi sebelum tarikh lawatan, boleh bawa Nurul terus ke sini."

"Terima kasih, Doktor." Ujar Ayah Nurul.

"Sama-sama. Ingat, Nurul kena makan ubat ikut jadual." Maximus mengingatkan Nurul berkenaan jadual pengambilan ubat.

Selepas meluangkan masa bersama Nurul, Doktor Pelatih memberikan satu lagi senarai nama pesakit yang perlu dinilai oleh Maximus Randell.

"Ida, masih demam lagi?" Soal Maximus Randell kepada pesakit kanak-kanak yang bernama Ida.

Ibu Ida menghampiri katil Ida.

"Dia demam lagi, Doktor. Malam tadi pun kena serang sawan."

"Lama?"

"Dalam lima minit." Jawab Ibu Ida.

Maximus Randell mengangguk sambil menulis segala butir yang diterangkan oleh Ibu Ida.

"Baik, Ida... tak boleh balik lagi. Masih ada demam."

Buku catatan pesakit disemak semula oleh Maximus Randell. Setiap tulisan pada helaian muka surat dibaca dengan teliti.

"Nurse, nurse."

Mendengar suara Maximus memanggil, salah seorang Nurse menoleh kepada Maximus. Lembut sinar matanya bertembung pandang dengan anak mata Maximus Randell. Bersahaja dia mengukir sebuah senyuman manis.

"Doktor Maximus?"

Maximus Randell beku pada kedudukkannya. Melihat insan yang paling dirinduinya ketika ini adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Suka, duka bercampur baur!

"May?"

Padangan matanya belum dialih dari bertentang dengan mata Madeline Sumang. Takut sangat bila berkedip, Madeline Sumang akan ghaib.  Dia ingin memuaskan hati melihat wajah yang terlalu dirinduinya.

"Is it you, May?"

Berkerut dahi Madeline Sumang mendengar suara tertahan-tahan Maximus Randell. Tambahan pula soalan Maximus Randell tidak masuk dek akal pada pendengaran. Tidak mungkin Maximus sudah lupa mengenai dirinya.

"It is me, Max."

"Wow, look at you...." Maximus menghampiri Madeline Sumang. Cepat tangannya ingin mencapai tangan wanita itu.

Madeline Sumang menjauh sedikit. Tangan gagah Maximus Randell dijatuhkan semula.

"Kenapa panggil?"

Berkerut dahi Maximus mendengar soalan Madeline Sumang.

"Tadi, Doktor panggil, nurse?" Soal Madeline Sumang mengingatkan Maximus.

Maximus Randell tidak melepaskan pandangan matanya. Wajah ayu itu semakin dirinduinya ketika itu. Sayangnya mereka berada di hospital. Waktu kerja mereka pula...

"Err... boleh tolong check suhu badan, Ida?" Pinta Maximus. Matanya masih belum lari dari memerhatikan wanita di depan. Sukar untuk dia menerima bahawa Madeline Sumang betul-betul berada di sini. Di hadapan matanya!

Lantas Madeline Sumang mengambil pembaca suhu lalu di cucuk ke dalam telinga Ida.

"38.6."

Maximus menulis info tersebut.

"Suhu, agak tinggi. Ida, minum air banyak." Kata Maximus kepada Ida.

Lepas itu dia beralih kepada Ibu Ida.

"Ibu, buat sponging masa badan Ida panas."

Maximus menoleh semula kepada Madeline Sumang.

"Thanks, Nurse...."

"Ada apa-apa lagi?" Soal Madeline Sumang tanpa mempedulikan ucapan  Maximus Randell.

Tajam anak mata Maximus Randell merenung Madeline Sumang.

"Boleh I jumpa you, lepas waktu kerja?"

Madeline Sumang hanya mendiamkan diri. Dilawannya panahan mata Maximus Randell.

"Did you see them?"

"What?"

"Find them, Leya...." Ujar Madeline Sumang lalu meninggalkan Maximus Randell di situ.

Terpaku Maximus Randell memandang belakang Madeline Sumang. Semakin jauh semakin samar.

"Mayyyyy...." Sekuat hati Maximus Randell menjerit memanggil nama Madeline Sumang. Oleh kerana tiada respon dari Madeline Sumang maka dia berlari mengejar bayangan gadis tadi.

Semakin lama bayangan Madeline Sumang semakin menghilang. Panggilan Maximus Randell tidak dihiraukan langsung. Terjelepok Maximus Randell di atas lantai hospital, tidak sanggup ditinggalkan oleh Madeline Sumang.

Hujan tanpa henti dari tengah malam sampai ke pagi membuai tidur Maximus Randell. Hembusan angin dingin boleh sampai ke sum-sum tulang. Cadar tebal Maximus Randell tidak dapat menangkis dingin angin sejuk di luar.

Panjang lena Maximus Randell namun ada air jernih mengalir membasahi bantal tidurnya. Tiada esakkan hanya tarikan nafas semakin lama semakin laju.

"May?" Tutur Maximus semasa membuka matanya. Disentuh wajah basah. Perlahan dia mengelap sisa airmata.

Dalam samar-samar lampu malam Maximus Randell merenung siling. Lama. Memutarkan rakaman saat dia berjumpa Madeline Sumang tadi.

Tidak diduga sama sekali. Pertemuan itu adalah sekadar mainan tidur. Kata-kata terakhir, Madeline Sumang masih terngiang-ngiang di cuping telinganya.

"Cari siapa?"

"Them?"

"Siapa? Leya... but why them?"

Puas Maximus Randell menyoal dirinya sendiri. Cuba merungkai teka teki kehidupan Madeline Sumang selepas ditinggalkan olehnya.

"Arghh! No matter what happens. I need to see the old man."

Putus Maximus Randell. Kusut fikirannya. Penuh dengan nama Madeline Sumang. Keinginan untuk mencari bekas tunangnya itu semakin mengasak jiwanya.

"Oh! God, adakah ini karma aku? Maka aku diuji pada saat ini. Rindu dan keinginan yang semakin memakan diri...."

Tersekat-sekat Maximus Randell menarik nafas. Hadir rasa pilu maha hebat, semakin membalut jiwa lelakinya. Jiwanya lelah, lemah... kerana terlalu merindui.

"Kenapa kerap sangat, kau hadir dalam lenaku, May? Why? What happened to my love?"

Bersama sebak di dada Maximus Randell cuba menutupkan matanya semula. Sebentar lagi fajar menjelma, menjanjikan satu lagi kisah pencariannya.

Enjoy Reading... To be continue.
Pendek sikit entry untuk Bab 7.

No comments:

Post a Comment