Monday 23 February 2015

Nafas Cinta Bab 12

Syukur sangat! Petang tadi sampul surat yang hilang dari kotak arwah Mak berjaya dijumpa oleh Lisa Mary. Bukan main seronok Lisa Mary memberikan sampul surat tersebut kepada Maximus Randell.

Belum sempat membuka pintu Pajero, Lisa Mary telah menjerit nyaring.

"Max! Nah, sampul surat. Buka sekarang. Biar kami semua tengok sekali. Tak nak jadi satu cerita lagi... isi penting dalam ini, hilang!"

"Jumpa kat mana?"

"Bawah pakaian kotor kamu. Nasib baik saya tak cedok sekali, masuk dalam washing machine. Buka, cepat!" Arah Lisa Mary sekali lagi.

Tanpa berfikir panjang Maximus Randell cepat-cepat membuka sampul surat. Suffian Ilhan, Lisa Mary dan George Ralph terpacak berdiri mengelilingi Maximus Randell. Mereka sama-sama tidak sabar merungkai rahsia di dalam sampul surat.

"USB?" Serentak George Ralph, Lisa Mary dan Suffian Ilhan mempersoalkan kandungan sampul surat tersebut.

Maximus Randell menggenggam USB.

"Kejap."

"Eh! Nak pergi mana?" Jerit Lisa Mary meminta penjelasan mengenai tindakan Maximus Randell. Tiba-tiba sahaja Maximus Randell memecut larian ke dalam rumah.

"Biarkan dia... mesti dia nak privasi tengok apa ada dalam USB tu...." Tutur George Ralph menangkan keadaan terpinga-pinga Suffian Ilhan dan Lisa Mary.

Lama Maximus Randell mengurungkan diri di dalam bilik. Mereka bertiga pula tidak sabar menunggu cerita dari Maximus Randell.

"Err... Lisa, Max tak keluar lagi ke? Hampir satu jam dalam bilik tak akan tak habis lagi." Soal Suffian Ilhan. Mana tak nya... dia sudah siap makan malam pun. Tapi Maximus Randell belum juga keluar dari bilik.

"Sabar, Bro... Biarkan dia dahulu. Dia perlu bertenang. Mungkin dalam USB tu ada video dan cerita tersendiri." Kata George Ralph menjawab bagi pihak si isteri. Padahal dia pun sama, dari tadi asyik menjeling pintu bilik Maximus Randell.

Bunyi bukaan pintu bilik Maximus Randell menarik perhatian mereka bertiga.

"Apa cerita?" Cepat Lisa Mary bertanya tanpa mengesan mendung pada wajah si adik. Apa yang dia tahu... dia hendak tahu isi kandungan USB tadi.

"Makan dulu, Max... kami baru habis makan." Pelawa George Ralph. Dia sedar perubahan pada wajah Maximus Randell. Orang susah hati ditekan lagi dengan pelbagai soalan lagilah dia susah.

Lisa Mary bangun menghidang makanan bagi Maximus Randell. Silap dia tadi... teruja lebih sehingga mengabaikan nasib perut adik.

Perlahan-lahan Maximus Randell mengaul nasi dalam pinggan. Nafsu makan hilang tetapi perut asyik berbunyi minta diisi. Dia sedar mereka bertiga tidak akan berganjak dari situ selagi dia belum menjelaskan berkenaan USB tadi.

"It's about May... semua kisah May sepanjang beberapa tahun lepas. Last video diambil tahun lepas. Rasanya Mak sembunyi benda ini pun tahun lepas. Sampai hati Mak biarkan May macam tu. Sanggup Mak tinggalkan rasa bersalah tidak tertanggung dalam hati saya."

Yang lain hanya mampu melopong. Mendiamkan diri... Susah payah mencari. Walhal semua maklumat berkenaan Madeline Sumang berada di depan mata.

###

Sepanjang malam Maximus Randell tidak mampu memejamkan matanya. Apatah lagi setelah dia menonton video kisah-kisah kehidupan Madeline Sumang. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan dia beralih tempat tidur. Seolah-olah ada batu tertanam di dalam tilam dreamland yang masih baru lagi. Puas dia, mencari keserasian diantara badan dan tilam 

Namun matanya belum juga boleh dipejamkan. Bunyi cengkerik di luar sana semakin kuat pada pendengarannya. Rasa rimas tiba-tiba menyerang Maximus Randell. Hatinya tidak bisa tenang selagi dia belum berjumpa dengan Madeline Sumang.

Setiap kata-kata dan gerak geri Madeline Sumang di dalam rakaman video mengigit naluri hati lelakinya. Saat paling pilu sekali, bila dia melihat rakaman video Madeline Sumang bersama anak kembarnya. Lebih perit... Bila Madeline Sumang menitiskan airmata semasa memangku Cattleya Orked.

Melalui rakaman video Madeline Sumang menerangkan secara terperinci mengenai tahap kesihatan Cattleya Orked. Ditakdirkan Cattleya Orked lemas semasa dilahirkan kerana Madeline Sumang hilang tenaga setelah melahirkan Carl Blume.

Merasakan hanya badan berada di atas katil, sedangkan hati jauh bersama Madeline Sumang... Lantas Maximus Randell bangun.

'Apalah, May kan bagi alamat rumah. Kenapa tak terfikir dari tadi, bertolak terus ke rumah May... Such a fool!' Bebel Maximus Randell seorang diri sambil menyalin pakaian tidur ke pakaian luar rumah.

Tanpa bunyi dia menyusup keluar dari rumah. Walaupun tanpa persetujuan dari George, Pajero George tetap menjadi pilihan Maximus Randell. Tunggu pagi esok... Apa reaksi George Ralph bila Pajero hilang dari halaman rumah?

Dari simpang jalan dia melalui kawasan agak bergunung ganang. Tenang mata memandang warna hijau di sepanjang jalan. Banglo dua tingkat pula tersergam cantik di bawah lembah.

Senang sangat rupanya mencari rumah Madeline Sumang. Kawasan rumah dikelilingi oleh tanaman pokok-pokok bunga orkid. Tapak semaian benih orkid seluas mata memandang. Kelihatan juga rumah hijau di kiri dan kanan rumah banglo dua tingkat.

Sudah namanya, pengemar bunga orkid lalu di setiap penjuru luar sama ada di bawah dan atas banglo tersebut dihiasi dengan bunga-bunga orkid. Pada fikiran Maximus Randell, tahap kegilaan Madeline Sumang  berada pada tahap melampau.

Pemandangan itu, baru dilihat dari luar belum lagi masuk ke dalam rumah. Boleh 'berhabuk' mata Maximus Randell kerana terlalu kerap dijamu dengan kuntuman bunga orkid. Di luar dan dalam rumah bertemu benda yang sama, naik jemu juga perasaan lelakinya. Sedetik dia berfikir, semoga di dalam banglo dirias tanpa bunga orkid yang keterlaluan!

Maximus Randell berdiri di atas cerun tinggi, terpesona menerokai pemandangan sejuk di lembah sana. Melalui kaca matanya, patutlah Madeline Sumang sanggup tinggal di kawasan terpencil ini...

"Cantik dan damai sekali...." Luah Maximus Randell. Bercakap sendiri tanpa teman menemaninya.

Memandangkan perkara di antara dia dan Madeline Sumang agak sensitif maka lebih baik, Suffian Ilhan ditinggalkan di kampung. Biarlah dia bertemu empat mata dengan Madeline Sumang. Pendapat orang lain dibiar ke tepi dahulu.

"Cantik kan?"

Maximus Randell menoleh ke belakang. Hairan dia melihat kehadiran seorang lelaki tua tanpa di duga. Orang tua berpakaian agak lusuh tetap terus berjalan menghampirinya.

"Pemandangan dari sini cukup cantik." Sambung lelaki itu tanpa mempedulikan riak wajah keliru Maximus Randell.

"Ya, cantik. Pakcik, orang sini?"

"Uncle, tak sanggup meninggalkan tempat secantik ini." Terang Pakcik tersebut menjawab soalan Maximus Randell. Mata redup orang tua itu menyembunyikan satu kepedihan. Hanya tuan badan yang tahu derita yang ditanggung. Dia larikan mata redup itu dari terus dibaca oleh anak muda di hadapan.

Mereka bersalam sebagai pembuka perkenalan mereka di atas cerun. Masing-masing sama-sama mengangumi pemandangan di lembah sana.

"Saya Maximus, panggil saya, Max."

"Samuel... boleh panggil saya, uncle Sam. Awal sampai?"

"Ya, ada hal sedikit." Jawab Maximus Randell. Rasanya tidak elok untuk dia berkongsi perihal urusan yang sebenarnya dengan orang baru dikenali.

Uncle Samuel memandang sisi wajah anak muda itu. Sepertinya juga, sama-sama dapat merasakan beban tidak terluah di hati masing-masing.

"Hal penting?"

Jenuh Maximus Randell memerah otak. Memikirkan cara untuk mengorek sebarang dua cerita berkenaan banglo indah di lembah itu. Naluri tetap berpendirian teguh. Pemilik banglo mewah adalah orang yang dicari.

"Uncle, tinggal tak jauh dari sini ke?"

Pelik... Sepatutnya Maximus Randell menjawab soalan dari Uncle Samuel. Tetapi, Maximus Randell menyoal dia pula.

"Ya, kenapa?"

Jawapan Uncle Samuel memberikan satu harapan bagi Maximus Randell. Usaha awal pagi ini biarlah membuahkan hasil.

"Uncle kenal tak pemilik banglo di bawah sana?"

'Oh! Kerana hal banglo di bawah sana....' Uncle Samuel merumus sendiri perihal pagi-pagi buta orang muda ini sudah berada di atas cerun ini.

Oleh kerana agak lama Uncle Samuel mengelamun, Maximus Randell menjeling orang tua itu. Salahkah, soalan yang diusul tadi?

"Uncle, kenal pemilik banglo itu?"

Soalan kali kedua Maximus Randell menguatkan lagi telahan hati tuanya. Mesti anak muda ini mempunyai hal penting. Kalau tidak, mana mungkin dia ulang soalan sama.

"Kenapa? Ada urusan dengan dia?"

Maximus Randell menghembus nafas lemah. Teragak-agak untuk berkongsi masalah dengan orang tua tersebut. Namun, andai tiada cara lain maka dia sanggup, sekalipun harus membuka pekung di dada sendiri.

"Uncle, kenal?"

Uncle Sam mengangguk lemah.

“Kenal."

Pantas Maximus Randell menoleh tepat ke arah Uncle Samuel. Satu harapan positif di ambang matanya. Penuh sabar dia menanti sambungan suara orang tua itu

"Tapi... sayang...."

"Tapi apa, Uncle? Apa telah terjadi kepada pemilik banglo itu?" Soal Maximus sebelum Uncle Samuel menghabiskan ayatnya.

Uncle Samuel terkedu melihat sikap kelam kelibut Maximus Randell. Jelas tertera lakaran runsing di riak wajah teruja. Kemudian Uncle Samuel menjeling ke tepi di sebelah kanannya. Sungguh pahit bila terpandang pacakkan batu tanda yang telah diukir indah.

"Pernah dengar cerita sepasang kekasih? Setelah beberapa tahun mereka bercinta. Satu hari, si lelaki melamar teman wanitanya. Namun kerana masalah keluarga si lelaki membatalkan rancangan perkahwinan mereka."

Masing-masing diam. Sama-sama mengumpul kekuatan untuk meluahkan apa yang difikirkan.

"Pernah dengar cerita sebegini, Max? Di daerah ini... cerita ini menjadi buah mulut orang." Uncle Samuel menyambung ceritanya setelah seketika mereka sama-sama mendiamkan diri.

"Apa yang telah terjadi kepada...  perempuan? Mesti keadaan dia separuh mati bila ditinggalkan oleh tunangnya...." Tanpa menjawab soalan Uncle Samuel, Maximus Randell terus mengajukan soalan lain. Soalan tadi juga merupakan pengalaman dirinya sendiri. Pengalaman itu pula merupakan beban yang semakin berat digalas beberapa hari ini.

Kali ini, jauh mata redup Uncle Samuel memandang ke lembah sana. Hempasan nafas lemah tenggelam timbul...

"Dunia bulat, Max. Ada masa kita di bawah dan ada masa pula kita di atas. Begitu juga kisah mereka... satu ketika telah diberi peluang untuk bersatu di dalam ikatan perkahwinan. Tetapi... kalau bukan jodoh maka segala perancangan diabaikan tanpa mempedulikan kesan kepada tindakan yang kita telah ambil."

Maximus Randell terpukul dengan pandangan bernas Uncle Samuel. Contoh paling dekat adalah dirinya sendiri. Jadi, kenapa pula dia harus membantah pendapat orang tua tersebut?

"Boleh kamu bayangkan, Max? Andai kamu sebagai pasangan wanita itu, diberi peluang untuk menyusun semula keputusan masa lalu... semakin kamu ingin perbetulkan kesilapan kamu, semakin kusut pula permasalahan kamu. Dan akhirnya kamu jumpa ini...."

Pada saat ini, dia dapat merasakan begitu hampir dengan wanita yang dicari. Kendatipun begitu, rasa bersalah belum mampu diusir dari dasar hati Maximus Randell. Dan... Bila dia melihat pegangan tangan Uncle Samuel, tapak kaki Maximus Randell seakan-akan tidak berpijak di bumi. Punah, ranap segala impian selama beberapa hari lepas.

Begitu tragiskah nasib yang menimpa Madeline Sumang? Jauh sekali jawapan diantara yang diinginkan dengan kenyataan yang terpaksa diterima oleh Maximus Randell. Hidup, mati balik... Tiada kuasa di dalam dunia yang mampu menghidupkan jasad di dalam tanah.

"Bagaimana hendak diperbetulkan kesilapan lampau, sedangkan dia sudah berada di dalam tanah? Bolehkah kita terus hidup tenang, sekiranya perasaan bersalah akan terus bersama kita? Berganda berat bila kita langsung tidak pernah mengambil tahu perihal dia selepas ditinggalkan." Sambung Uncle Samuel tenang sambil mengusap perlahan titisan embun pagi di batu tanda itu.

Maximus Randell simpan tanggisan di dalam dada. Namun dia tidak berupaya mencegah bening jernih bergenang di celah kelopak matanya.

"Kenapa dia di tanam di sini? Kenapa tidak dibawa balik ke kampung?"

"Keputusan dia sendiri. Dia menunggu kekasihnya datang ke sini, supaya mereka boleh bersama-sama melihat keindahan lembah itu dari sini."

Terpukul teruk perasaan Maximus Randell dengan jawapan yang diberikan oleh Uncle Samuel. Tadi semasa dia berhenti di sini, tidak pula dia perasan akan satu-satunya kubur yang terletak di situ. Malah begitu hampir dengan tempat dia berdiri menikmati pemandangan di lembah orkid.

Cerita yang disampaikan oleh Uncle Samuel kurang lengkap tanpa penjelasan mengenai sebab utama kematian Madeline Sumang.

"Uncle, bagaimana May boleh meninggal?"

Sakit sungguh hati Maximus Randell menuturkan soalan pembunuh jiwanya sendiri. Menyedari bahawa diri sendiri berkemungkinan sebagai penyebab utama kematian Madeline Sumang. Kalau benar, pada fikiran orang luar, dia sanggup dipersalahkan kerana dia gagal menjadi pelindung nafas sendiri.

Uncle Samuel menyedut nafas panjang sebelum menjelaskan situasi perempuan malang ini. Dia tidak pernah berkongsi dengan sesiapa mengenai cerita penuh tragis ini. Entah mengapa pagi ini, dia berlapang dada berbual panjang dengan anak muda yang baru dikenali... Mungkin disebabkan firasat hatinya, melihat figura Maximus Randell seperti melihat dirinya sendiri lebih dua puluh tahun dahulu.

"Dia meninggal sejurus selepas melahirkan anak perempuannya."

Dunia Maximus Randell seakan-akan berhenti berputar selepas dia mendapat jawapan kepada soalannya tadi. Cerita sama, nama pula sama tetapi kenapa penghujung kisah Madeline Sumang tidak selari dengan maklumat yang dia perolehi.

Setahunya Madeline Sumang masih hidup setelah anak-anak dilahirkan. Besar bebola mata Maximus Randell meneliti semula keadaan batu tanda itu. Lantas dia tertanya-tanya mengenai identiti wanita yang terkubur di bawah sana. Siapakah wanita bernasib malang ini?

Laju tangan Maximus Randell membersihkan lumut hijau dan titisan embun pagi pada nisan di tepi jalan. Uncle Samuel hanya memandang tindakan sepontan Maximus Randell.

"Mary Beth? 1970 to 1992. Age 22." Tutur Maximus Randell satu persatu. Hidungnya kembang kuncup menahan rasa sesak nafas. Sukar untuk dia menzahirkan perasaannya ketika itu... antara gembira ataupun duka?

"Mary Beth adalah pemilik banglo di bawah?" Apapun kekeliruan tadi perlu diperbetulkan. Maximus Randell perlu yakin bahawa dia masih mempunyai peluang untuk berjumpa dengan Madeline Sumang. Madeline Sumang tidak mati. Dia masih hidup? Kalau betul di mana dia berada? Kusut lagi jawapan kepada pencarian Maximus Randell.

Kesunggulan di raut wajah Maximus Randell sangat jelas pada kaca mata Uncle Samuel. Pasti jawapan yang diberikan tidak tepat dengan pencarian Maximus Randell. Tetapi... dia pun keliru juga. Kenapa melalui bahasa badan semasa dia menceritakan penderitaan May tadi betul-betul berkesan di hati lelaki muda ini?

"Ya, kamu ingat siapa?"

Maximus Randell laju-laju menelan liur.

"Kisah kami... maksud saya, saya dan May saya mempunyai kisah yang sama dengan Mary Beth dan kekasih dia."

Mahu tak terbeliak mata orang tua itu, terkejut mengenai penjelasan Maximus Randell.

"Kamu cari pemilik banglo itu dan ia adalah peninggalan Mary Beth. Diwarisi oleh anak yang ditinggalkan."

Kali ini giliran Maximus Randell pula terkejut...

"Anak dia tak mati setelah dilahirkan?"

Uncle Samuel menggeleng. Dia keliru dengan soalan Maximus Randell. Tinggi sungguh daya imiginasi Maximus Randell... sampai boleh merumuskan anak Mary Beth meninggal semasa dilahirkan.

"Jadi, banglo dan ladang ini milik anak dia?"

"Ya." Sorotan pada wajah Uncle Samuel mulai bertukar dari redup kepada anak mata tajam. Apa yang sedang difikirannya janganlah benar-benar terjadi. Minta simpang jauh-jauh.

Bersama keluh kesah yang memerlukan penjelasan kukuh Maximus Randell perlu pasti bahawa telahan kali ini adalah benar dan tepat. Jika benar... Adakah disebabkan hal ini, arwah Mak menentang keras perkahwinan diantara dia dan Madeline Sumang?

"Mary Beth lahirkan anak perempuan?"

Uncle Samuel mengangguk. Pandangan anak matanya semakin tajam.

"May pilihkan nama, Madeline Sumang sebelum dia menghembus nafas terakhir. Dia pergi meninggalkan nafas cinta kami...."

Jantung Maximus Randell berhenti mengepam darah beberapa detik, ketika Uncle Samuel membuka cerita berkenaan Madeline Sumang. Betullah telahan nalurinya tadi. Kali pertama dia bertemu empat mata dengan Uncle Samuel, dia ingatkan lelaki tua ini hanya orang kampung di kawasan terpencil itu. Tidak diduga sama sekali bahawa dia... adalah bapa kandung Madeline Sumang.

Parah, kali ini memang dia memang kalah teruk, perasaan bersalah menyerangnya bertubi-tubi. Menikamnya sehingga tembus ke ruang dada. Mengapa dia lalai dalam menilai identiti Madeline Sumang? Mengapa dia boleh membenarkan arwah Mak bersikap prejudis terhadap pilihan hatinya?

Arghh! Mak memang selalu bertindak mendahului dia dan Lisa Mary... segalanya harus mengikut corak permainan Mak.

"May... maksud saya, Madeline ada di sini tak?"

"Anak muda... Madeline Sumang memang anak saya. Tapi... hakikatnya dia bukan hak saya. Sama seperti ibunya... Tapi, serba sedikit saya tahu perkembangan kehidupan May... termasuklah kisah dia ditinggalkan tunang sendiri. Ia begitu menyerupai kisah malang ibunya sendiri...." Uncle Samuel diam seketika, menghantar pandangan ke arah banglo indah di lembah sana.

"Mungkin juga bersangkut paut dengan perjalanan hidup saya sendiri. Saya tinggalkan ibunya... kitaran hidup pula berlaku tidak adil kepada Madeline bila dia menjadi mangsa palitan dosa-dosa silam saya... Percaya atau tak, ini semua adalah... circle of life... karma."

Bergenang semula kelopak mata Maximus Randell. Luahan hati Uncle Samuel betul-betul memukul hati lelakinya. Ternyata dia dayus selama ini. Dayus semasa meninggalkan Madeline Sumang tanpa berdepan dengan ahli keluarga Madeline Sumang. Dayus kerana dia bersembunyi selama lima tahun tanpa sedikit pun perasaan untuk merisik khabar mengenai Madeline Sumang... Baru kini dia sedar bahawa dia adalah lelaki paling dayus hidup di muka bumi ini.

Lebih parah lagi bila, dia dayus... membiarkan Madeline Sumang mengandung tanpa seorang suami. Dayus... sebab onar dari dia, Madeline Sumang menanggung malu dan dicaci seorang diri.

'Oh, Max... di mana kamu semasa May sedang menelan derita atas sikap dayus kamu sendiri?' Membuak-buak darah panas mengalir deras di dalam dadanya. Silap hanya satu, tetapi kesannya pula terlalu dalam!

"Uncle, saya minta maaf kerana meninggalkan Madeline dahulu... saya tidak bertanggungjawab, sedangkan dia adalah nafas cinta saya... berilah peluang kepada saya untuk menebus setiap kesalahan saya. Bantulah saya untuk mencari Madeline. Saya nak habiskan sisa-sisa hidup saya bersama dia dan anak-anak kami. Puas saya mencari... dan pagi ini, saya berdiri di cerun ini, berkira-kira Madeline ada di lembah itu. Memandangkan orkid adalah bunga kesayangan dan minat utamanya."

Uncle Samuel menoleh melawan anak mata Maximus Randell. Permintaan anak muda ini tidak keterlaluan. Maximus Randell punya hak dan berniat baik untuk menebus segala kesilapan masa lalu.

Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Membiarkan Maximus Randell tercari-cari seolah-olah dia melihat keadaan dirinya lebih dua puluh tahun dahulu. Sanggupkah dia membiarkan perkara ini berulang semula di dalam kehidupan darah dagingnya sendiri? Tidak! Uncle Samuel tidak akan membenarkan perkara tersebut terjadi kepada Madeline Sumang.

"Uncle tidak berupaya memaksa Madeline menerima kamu, Max. Segalanya akan ditentukan oleh dia sendiri. Saya... seumpama melukut di tepi gantang. Masih lagi mengharapkan cebisan keampunan dari Madeline. Hanya doa yang mampu Uncle berikan... Semoga nasib kamu bukan seperti nasib saya. Pergilah ke rumah itu... raih kemaafan dan cinta kamu semula."

"May ada di situ?"

"Pergilah... Nasib kamu baik kamu akan jumpa dia."

To be continue... Enjoy Reading.

No comments:

Post a Comment