Thursday 13 August 2015

Nafas Cinta Bab 23

Terngiang-ngiang suara riang Maximus Randell mengkhabarkan berita baik. Teruja sangat Maximus Randell semasa menceritakan penerimaan Madeline Sumang dan temu janji mereka malam tadi. Lisa Mary tumpang gembira. Lama sangat dia tidak mendengar ketawa yang sangat ikhlas si adik.

Mengantuk macam mana sekalipun malam tadi, dia tetap melayan Maximus Randell. Setiap perbualan mereka malam tadi bermain semula pagi ini. Dia menerangkan satu persatu kisah Maximus Randell dan Madeline Sumang kepada si suami. Tidak satu pun yang tertinggal. Biarlah mereka sama-sama kongsi rasa gembira ini.

Pagi ini, bagaikan satu permulaan baru bagi Lisa Mary. Satu lagi aliran kebahagiaan sedang mengisi rumah ini. Kebahagiaan adik yang dia inginkan selama ini. Tidak lama lagi rumah di atas bukit ini akan menjadi lebih meriah dengan penambahan bilangan ahli keluarga.

Sekali lagi Lisa Mary meminta jasa baik Inak Idut dan Inak Laing untuk menjaga anak-anaknya semasa dia tiada di rumah nanti. Hajat adik perlu didahulukan. Sebab itu, dia telah mengajak George Ralph ke rumah Abang dan Ayah Madeline Sumang tengah hari ini.

Jauh Lisa Mary memasang angan. Berkemungkinan dua tiga hari lagi, rumah ini akan dibanjiri sanak saudara dari jauh dan dekat. Mengikut kehendak Maximus Randell jauh malam tadi, kenduri kahwin cuma diadakan di rumah mereka sahaja. Mereka pula tidak mahu melengahkan lagi majlis yang dinantikan selama ini.

Maximus Randell dan Madeline Sumang hanya memerlukan kelangsungan majlis mereka secara sederhana. Tidak perlu majlis besar-besaran.

Lain pula pada pandangan Lisa Mary dan George Ralph, alang-alang sudah ada majlis nikah kahwin baik dibuat secara besar-besaran. Lagipun, bukan selalu rumah di atas bukit ini menjamu saudara mara dan jiran tetangga. Inilah peluang bagi mereka beramah mesra dengan orang kampung, memecahkan tradisi yang telah arwah Mak tanamkan dahulu.

Maka, awal pagi tadi Libau dan Michael telah dikerah oleh George Ralph untuk mencuci dan mengemas kawasan luar rumah dari sampah sarap dan kotoran minyak dari lori sawit mereka. Termaksuklah Bengkel Lori Sawit perlu dikemas dan dicuci bersih juga.

Libau dan Michael tidak membantah. Dengan rela hati menawarkan diri untuk mencari kayu api juga. Kenduri di kampung biasanya memasak pun cara bergotong-royong. Itu yang akan lebih memeriahkan suasana kenduri. Bermacam pelan sudah disusun oleh George Ralph, Libau dan Michael. Termasuklah berkenaan dengan menumbangkan seekor lembu yang dibela oleh George Ralph.

Dicadangkan oleh Libau dan Michael lembu jantan yang agak liar. Suka sangat terlepas dari kandang. Inilah masa yang paling sesuai, ditumbangkan sempena kenduri Maximus Randell dan Madeline Sumang. Selepas disembelih untuk kenduri Maximus Randell, lembu jantan tersebut tidak akan menyusahkan mereka berdua. Biasanya kalau terlepas, satu kampung  diredah untuk menangkap lembu tersebut.

"Pit tumbang, senang sikit kerja kami dua orang, Pok."

George Ralph senggih. Kasihan pula. Memang betul mereka yang selalu menjadi mangsa kaki menangkap dan mengejar Pit. Tak senang menjejak Pit. Habis denai atau belukar di redah. Tidak ada masalah bagi Pit meredah denai atau belukar. Kulit Pit tebal. Tidak sakit, tidak luka. Lain hal pula dengan orang yang menjejaknya. Habis calar satu badan. Semuanya gara Pit keluar kandang!

"Pit ada dalam kandang, kan? Jangan terlepas pula. Susah nak kesan lembu tu nanti."

"Pit lepas, dia makan penabur aku nanti." Tukas Michael tegas. Menyakitkan hati betul bila memikirkan penat semasa menangkap Pit selama ini.

Sudah lama Michael dan Libau mensasarkan Pit untuk dijadikan korban terdekat. Pendek cerita, Pit adalah senarai pertama untuk disembelih atau dijual. Kalau George Ralph tidak bersetuju, mereka berdua akan mencadangkan George Ralph sendiri menangkap Pit kalau lembu jantan itu terlepas dari kandang. Ingat, mahukah George Ralph mengejar lembu? Silap hari, makan penabur jawabnya? Dari dikorbankan tidak tentu hala tuju baik dikorbankan untuk kenduri Maximus Randell. Ada juga hasilnya.

"Nanti kau periksa Pit, Libau. Pastikan Pit ada dalam kandang. Tak ada, kau berdua tau la, nak buat apa."

"Huh! Tau tangkap. Bawa balik." Jawab Libau.

"Aku tembak terus, Pok." Bersungguh-sungguh Michael menekankan pendapatnya.

George Ralph senggih lagi memandang Michael. Faham sangat makna kata-kata Michael tadi.

"Masalahnya, kita tak boleh tembak Pit. Pit tu kena disembelih dengan cara yang betul. Adik, beradik, saudara mara Muslim kita kan ramai. Kalau tak disembelih mana boleh mereka makan daging lembu tu nanti."

Libau mengangguk. Setuju dengan pendapat George Ralph.

"Aku pun fikir macam, George tadi. Kau ni Michael. Nak buat kerja senang. Nanti kalau Pit tu dah tak ada. Jangan kau rindu Pit tu pula."

"Eleh, kau tu kenapa? Tak ada masa aku nak rindukan Pit. Menyusahkan betul." Runggut Michael.

"Ya, la... Setiap hari kau datang ke sini. Pit tu yang kau cari dulu. Kau nak pastikan dia ada dalam kandang ke tak? Sikit kau nampak kandang Pit tercabut, cepat-cepat kau baiki. Lepas Pit tak ada, kau tak buat dah kerja tu. Pasti ke kau tak rindukan Pit, kalau nampak kandang tu?" Kau yang selalu buat benda tu, kan?" Ulas Libau panjang lebar. Michael mungkin tidak perasan, bahawa satu masa nanti dia akan terkenang-kenangkan Pit. Kenyataannya, walaupun penat, mereka tetap ditemani gelak ketawa semasa menjejak Pit. Banyak kenangan mereka bersama lembu jantan itu.

"Dah lah. Jangan dikenangkan sangat hal Pit. Kalau kau berdua sayangkan dia kita boleh sembelih lembu lain. Simbat pun boleh. Tapi agak tua la. Nanti liat sangat dagingnya." Putus George Ralph. Hari semakin berganjak. Sekejap nanti dia perlu keluar bersama Lisa Mary.

"Nak sembelih Simbat?" Tanya Libau. Kurang pasti dengan soalannya pun. Simbat lembu kesayangannya. Mana boleh suka hati sembelih Simbat.

"Aku bagi cadangan, dah kau berdua macam sayangkan Pit." Usik George Ralph. Masih tersenggih. Suka mengenakan dua orang sahabat baiknya.

"Jangan kacau, Simbat. Lembu tu punya lah jinak. Sembelih Pit." Putus Michael. Tidak mungkin kerana Pit, Simbat pula menjadi mangsa. Sembelih Simbat, lembu yang mana satu boleh dimanja-manjakan nanti? Setahunya tiada satu ekor pun sejinak Simbat. Boleh dipegang. Ala gaya, koboi membelai kuda mereka. Begitu juga mereka memanjakan Simbat. Walaupun seekor lembu, siap ada tanduk tetapi teramat jinak.

"Err... Nanti siapa nak sembelih Pit? Kami tak reti?" Soal Libau.

"Pian kan ada." Jawab Michael.

Libau mengangguk.

"Betul juga. Lupa pasal Pian."

####

Tembol pintu bilik Ayah, dibuka perlahan oleh Igat. Turun naik tarikan nafas di dada Ayah dipandang sayu. Sudah susut badan Ayah sehingga tulang rusuk jelas kelihatan.

‘Kasihan Ayah, tinggal sendiri di kampung….’ Keluh Igat perlahan. Ayah degil, pantang bertembung dengan anak-anak Madeline Sumang. Ada sahaja nada sumbang yang tidak ingin didengar keluar dari mulut Ayah. Lebih parah, kalau terserempak muka dengan Madeline Sumang sendiri.

Igat pegang bahu Ayah. Lalu digoyang perlahan-lahan….

“Ayah, ada tetamu datang.” Ayah bangun. Pasang telinga. Betul. Begitu jelas suara beberapa orang di ruang tamu didengarnya. Begitu ketara suara perempuan yang agak biasa dia dengar. Riuh ruang tamu dipenuhi suasana usik mengusik di antara suara tetamu dan anak-anak Igat. Sekali sekala, Racha mencelah perbualan anak-anaknya dengan tetamu tersebut.

“Siapa kat luar, Igat?”

“Endu Lisa dan suaminya.” Jawab Igat ringkas. Tidak lupa, dia tetap memerhatikan penerimaan si Ayah. Manalah tahu, tiba-tiba orang tua itu naik ‘hantu’. Di mana patut dia meletak mukanya kalau orang tua itu menghalau laki-bini tersebut.

Sinis Ayah memandang Igat. Marah Ayah tidak pernah surut. Walau bertahun kisah memalukan maruah keluarganya telah berlalu. Tetapi dia masih ingat dengan jelas saat maruah anak dipijak-pijak oleh Maximus Randell. Dan kemarahannya meleret sehingga merangkumi kesemua ahli keluarga tunangan si anak. Terutama sekali, marahnya sangat dalam terhadap orang tua yang baru meninggal beberapa hari yang lalu.

“Anak-anak, jadi kurang ajar kerana didikkan orang tuanya. Corak anak-anak mencerminkan keperibadian ibu bapa mereka. Kamu kena ingat benda ini, Igat. Jangan dipandang mudah.” Runggut si Ayah sehingga berjangkit kepada Igat pula.

Apa hendak dibuat? Ada juga, betulnya kata-kata si Ayah. Walaupun bukan semuanya betul. Tetapi tetap ada yang betul.

“Ya lah, Ayah. Igat tau.”

“Jangan kata tau sahaja. Kena buat. Kena ikut. Budak-budak kita senang nak bentuk. Melainkan kalau anak tu cacat macam anak May… Yang tu tak payah cakap lah. Keturunan tidak baik. Bapa ‘hantu’ sebab tu anak dia cacat. Baru padan muka dia.” Tanpa berlapik dan pandang kiri kanan Ayah membebel sehingga ke ruang tamu.

Tidak sedar ke Ayah, bahawa ada beberapa pasang telinga sedang mendengar bebalan yang keluar dari perasaan amarahnya. Amarah lima tahun yang lepas masih terbawa-bawa sehingga ke saat ini.

“Uncle.” George Ralph berdiri lalu menghulurkan tangan kepada Ayah. Namun tidak bersambut. Ayah buat muka sambil lewa. Tidak ingin berbaik-baik dengan Lisa dan suaminya. Payah hendak bersemuka dengan orang besar kepala seperti Ayah Igat ini. Harap menjadilah hasrat kedatangan mereka ke sini. Hajat dari Maximus randell perlu disampaikan. Lagipun hajatnya baik dan perlulah disegerakan.

“Hah! Kamu berdua… kenapa datang ke sini? Kalau datang kutip hutang. Aku tak ada berhutang dengan kamu. Setahu aku, adik dan Mak kamu berhutang dengan aku. Dan hutang itu mereka belum langsaikan sehingga kini. Aku nak nikahkan anak aku pun tidak dapat kerana anak aku masih terikat dengan adik kamu.”

Semua senyap. Membiarkan Ayah meluahkan segala yang terpendam selama ini. Igat dan Racha menjeling sesama sendiri. Adakah hari ini, mereka dapat merungkai sikap Ayah selama ini? Boleh menjelaskan kenapa Ayah terlalu prejudis terhadap Madeline Sumang dan anak-anaknhya.

“Kita hidup bermasyarakat. Ada adat yang perlu di ikut. Sebab itu, orang tua dulu-dulu memberikan panduan, agar kita boleh mencapai kata sepakat dalam apa jua keputusan yang telah dibuat. Ini tidak, adik kamu tidak bertanggungjawab. Begitu juga Mak kamu. Anak dan Mak serupa sahaja!”

“Ayah.” Tegur Igat lembut tetapi tegas.

“Aku cakap benda betul. Aku bukan main-main. Tidak pernah menganggap apa yang telah terjadi adalah benda yang main-main. Tetapi mereka ini sanggup mempermainkan maruah keluarga kita. Mengadaikan maruah adik kamu, Igat. Jangan kamu buat-buat lupa tentang perkara penting ini.”

“Kan benda tu dah lama berlalu. Ayah janganlah simpan terlalu lama. Sudah lah, Ayah.”

“Eh! Perkara besar macam ini, mana boleh kamu pandang ringan, Igat.”

“Saya tahu, Ayah. Dari kita bertelagah di depan mereka, baik kita tanya apa hajat mereka ke sini?” Ujar Igat mematahkan bebelan si Ayah.

“Bagus lah, kamu berdua datang. Boleh saya putuskan pertunangan mereka bagi pihak anak saya. Saya tidak perlu datang ke rumah kamu. Mengingkari arahan May.”

“Apa maksud, Ayah?” Soal Igat terpinga-pinga. “Bukankah mereka sudah putus tunang ketika mereka tidak jadi kahwin?” Sambung Igat.

“Huh! Itulah kamu. Semua hendak diambil mudah. Ada pihak mereka datang berjumpa kita untuk menjelaskan perkara ini? Pernah ke Mak kamu datang, Lisa?”

Lisa geleng kepala.

“Tidak, bukan?”

Lisa geleng lagi.

“Saya nak datang untuk putuskan talian pertunangan mereka tetapi ditegah oleh May. Bersungguh May tidak mengizinkan saya berjumpa Mak kamu. Sampaikan dia sanggup memilih kehilangan kasih sayang saya dari mempertahankan tunangan yang tidak tahu diuntung itu. Sekali lagi dia menentang saya kerana melahirkan anak lelaki yang telah memalukan dia. Yang telah membuang dia. Lelaki yang tidak mahukan dia. Inginkan dia. May sanggup kehilangan saya dari kehilangan kenangan lelaki yang tidak pernah ingatkan dia pun.”

Kelu lidah Lisa mahupun George Ralph untuk mematahkan luahan orang tua itu. Andainya mereka di tempa Ayah. Pasti mereka akan bersikap seperti Ayah juga. Malah mungkin lebih teruk dari Ayah.

“Beginilah Uncle, mengikut kata Uncle… kalau pertunangan mereka tidak putus, maka saya rasa kita tetapkan sahaja hari perkahwinan mereka.” Cadang George Ralph. Manalah tahu, kut-kut Ayah memberikan laluan mudah. Lagipun tidak perlu memanjangkan sengketa yang sedia ada. Dari bermasam-masam muka di antara kedua-dua keluarga, bukankah lebih baik mereka berbaik.

Racha dan Igat membelah bibir. Lega, sekurang-kurangnya nasib budak-budak terbela. Lebih-lebih lagi Cattleya Orked memerlukan pengawasan ketat. Dengan adanya Maximus Randell, bolehlah kesihatan Cattleya Orked terbela.

“Aku nak putuskan pertunangan mereka, supaya May tu boleh kahwin dengan Adam. Bukan nak bagi dia kahwin dengan si ‘hantu’ itu. Jantan tak guna tu, tak layak dijadikan suami anak aku. Dari dulu aku dah cakap, May tak nak dengar. Degil, nak juga dekat Max. Entah apa yang dia dapat bila kena tinggal oleh Max.”

Aku nak putuskan pertunangan mereka, supaya May tu aku boleh kahwin dengan Adam. Bukan nak bagi dia kahwin dengan si ‘hantu’ itu. Jantan tak guna tu, tak layak dijadikan suami anak aku. Dari dulu aku dah cakap, May tak nak dengar. Degil, nak juga dekat Max. Entah apa yang dia dapat bila kena tinggal oleh Max.”

“Ayah!” Tinggi sedikit nada suara Igat menegur tutur kata Ayah yang tidak berlapik pada telinga Igat. Bagi dia, niat sepasang suami isteri itu sudah cukup baik. Dia bersetuju sangat dengan cadangan George Ralph.

“Kamu, tau apa? May tu masih anak aku. Aku berhak nak padankan dia dengan siapa aku berkenan. Lagipun apa kurangnya Adam tu dan apa pula kelebihan Max?” Sangkal Ayah.

“Ayah, Adam tu orang bujang. Kena ingat May tu ada anak. Dan budak-budak tu adalah anak Max, bukan nya anak Adam.” Jelas Igat satu persatu. Tidak bersependapat dengan si Ayah.

“Senang saja cerita. Bagi saja ke dua-dua budak tu kepada Max. Anak dia kan? Dia lah kena bela. Bukan kamu, bukan Racha. Menyemak saja kamu simpan keturunan orang yang tak tau menjaga adap dan maruah orang lain.”

“Pakcik!” Bergetar suara Lisa Mary menyeru nama Ayah. Sampai hati orang tua ini memperlekehkan cucunya sendiri. Walaupun Madeline Sumang bukan anak kandungnya, Ayah tetap tidak berhak menghina budak-budak kecil itu.

George Ralph tidak nampak cara lain lagi, melainkan dia terpaksa masuk campur dalam urusan dua keluarga ini. Walaupun pada luarannya Ayah sudah menunjukkan penolakan, tetapi demi Maximus Randell dan Madeline Sumang dia akan cuba sedaya upaya meyakinkan orang tua ini.

"Pakcik, kami datang membawa hajat baik. Hajat ini juga lahir dari kata sepakat Max dan May yang inginkan restu dari Pakcik."

Tinggi Ayah mengangkat tangan. Mukanya semakin bengis. Langsung tidak menunjukkan ingin bekerjasama dengan cadangan George Ralph.

"Aku dah cakap tadi. Aku tak bersetuju. Aku nak May putuskan apa-apa hubungan dengan keluarga kamu. Tak akan kamu tak faham bahasa aku."

Igat mula mengeleng. Tangan kanan laju mengusap dada. Bisa kata-kata ayah amat menyakitkan hati. Apa sudah jadi dengan Ayah? Sudah cukup baik, keluarga Maximus Randell datang untuk memperhaluskan benda yang dahulu. Ayah pula semakin mahu mengeruhkan keadaan.

Racha mengesat airmata yang mula mengalir perlahan-lahan di pipinya. Siapalah dia untuk melebih-lebih menasihatkan ayah mertua. Sedangkan pendapat anak sendiri pun tidak dihiraukan. Sangat menyedihkan kalau Ayah berterusan membantah niat baik Maximus Randell dan Madeline Sumang. Apabila mengenangkan nasib anak-anak yang tidak tahu apa-apa, lebih menyakitkan hatinya.

Budak-budak kecil itu sepatutnya hidup di dalam satu keluarga yang sempurna. Bukan seperti sekarang. Seorang ke barat seorang lagi ke timur. Akhirnya Racha bangun dari tempat duduknya. Tidak betah dia menahan tanggis. Dari dia meraung di situ dan sakit hati. Lebih baik dia membawa diri ke dapur.

Manalah Lisa Mary tersenyum kelat. Dia faham maksud air muka Racha tadi. Pasti tidak selesa dengan gaya Ayah menyambut tetamu datang ke rumah. Dia jeling ke arah George Ralph. Dia nampak lelaki itu masih tenang. Tidak terganggukah perasaan suaminya itu setelah mendengar kata kasar Ayah? Pandai pula George Ralph menyembunyikan perasaan sebenarnya.

"Ayah... Cukuplah. Tak ada faedah kalau kita terus ingatkan perkara lama. Max datang untuk bertanggungjawab. Memperbetulkan keadaan yang dahulu. Kita bagi peluang kepada mereka. Boleh kan, Ayah?" Pujuk Igat lembut.

Malangnya orang tua tersebut tidak menunjukkan juga rasa ingin berlembut dengan kedatangan Lisa Mary dan suaminya. Malah dia, bangun dari situ. Dibiarkan Lisa Mary dan George Ralph memerhatikan gerak gerinya.

"Balik lah, aku tak setuju. Kalau May teruskan juga niatnya. Maka dia bukan anak aku lagi. Rumah aku bukan rumah dia lagi. Malah dia tiada hak dalam segala harta benda aku. Dia juga tidak berhak untuk menyentuh atau menangisi mayat aku juga."

Ayah pandang Igat.

"Itu keputusan muktamad aku. Apapun pendapat kau, aku tak nak dengar. Kalau kau hormat aku, kau patut hormat keputusan aku. Anak-anak May, kau suruh dia lepaskan. Bagi mereka kepada 'hantu' tu. Aku tak suka mereka juga. Rimas aku tengok mereka. Serupa aku tengok 'hantu' tu juga. Aku tak suka bapa,  anaknya aku pun tak suka juga. Ingat! Jangan bagi aku halang mereka dari memijak kaki ke rumah aku juga."

Ayah tinggalkan mereka bertiga di ruang tamu. Manakala tanggisan Racha di dapur semakin jelas kedengaran. Mereka bertiga diam, mati akal mendengar keputusan orang tua itu. Dan saat itu, andai jarum jatuh pun boleh didengar. Mereka hanya mampu bersuara melalui mata dan bahasa badan.

Keputusan Ayah seolah-olah menjatuhkan hukuman mati terhadap Maximus Randell dan Madeline Sumang. Sanggup Ayah menjatuhkan hukuman yang tersangat berat kepada mereka. Apa pula penerimaan Maximus Randell dan Madeline Sumang bila mereka dikhabarkan keputusan Ayah? Apakah keputusan Madeline Sumang? Adakah dia akan mengikut kata Ayah atau membantah kata Ayah? Ya, Tuhan... Sekali mereka diuji.

Igat bangun mengikut langkah Ayah tadi.

"Ayah, kita bagi mereka peluang?"

"Kau dah dengar keputusan, aku, kan? Jangan naikkan darah aku." Ayah hempas pintu bilik. Permintaan Igat ditolak ke tepi.

Igat menggeleng. Kesal sangat dengan penolakan Ayah. Buntu pula hendak bersemuka dengan Lisa Mary dan suaminya. Ikutkan hati, dia sangat bersetuju dengan niat si adik. Dia tidak nampak bahawa mengahwini Maximus Randell adalah satu kesalahan bagi Madeline Sumang. Tersangat tidak logik Ayah membantah perkahwinan mereka.

"Saya takut Ayah saya lebih teruk dari arwah Mak awak, Lisa. Kesiankan Max dan May.Lepas satu, satu lagi dugaan mereka."

Igat pandang George Ralph pula.

"Saya harap mereka boleh bersabar, George."

"Tak boleh ke kita kahwinkan mereka tanpa persetujuan Ayah awak, Andy?" Tiba-tiba Racha menyampuk. Bukan apa dia simpati sangat dengan nasib dua orang budak yang dia jaga selama ini. Terutama sekali Cattleya Orked. Adanya Maximus Randell maka kebajikkan kesihatan Cattleya Orked akan bertambah lebih baik.

"Aku ingatkan budak-budak, Andy. Mereka perlukan ayah mereka. Bagi aku, benda ini lebih penting dari segalanya." Sambung Racha.

"Bukan kamu, tak kenal May, Racha. Keputusan Ayah jarang dia bantah. Inikan pula sampai menyentuh hal mati lagi."

Diam lagi mereka berempat di situ. Beradu lapan pasang mata. Mencari titik pusingan berkaitan cerita cinta Maximus Randell dan Madeline Sumang. Bagaimana mereka boleh membantu untuk menyatukan kedua hati tersebut?

Monday 10 August 2015

Nafas Cinta Bab 22

Lena sungguh Madeline Sumang di tempat duduk sebelah. Seakan-akan selesa dengan pemanduan Maximus Randell. Tidak sampai hati pula Maximus Randell hendak membangunkan Madeline Sumang dari lenanya. Tetapi kalau tidak dibangunkan nanti terlepas masa pula mereka.

Lagipun agak sukar juga Maximus Randell mendapatkan tempat seperti yang dirancang. Tambahan pula tempahan saat akhir.

"May, bangun. We are here."

Berpisat-pisat Madeline Sumang bangun sambil menepis tangan Maximus Randell yang mengoncang bahunya. Diluaskan skala matanya di sekitar kawasan parking kereta. Ramai orang lalu lalang di situ. Maklumlah kawasan tersebut memang agak terkenal untuk anak-anak muda, pelancong asing atau ibu bapa membawa anak-anak beriadah pada waktu petang.

"Err, apa kita nak buat dekat sini?" Gugup Madeline Sumang memerlukan penjelasan dari Maximus Randell. Sungguh hairan, bukannya ada tempat yang sesuai untuk berbincang pun di situ. Penuh dengan hinggar binggar bunyi band jalanan atau riuh rendah orang di sekeliling mereka. Amatlah tidak sesuai dengan tujuan mereka untuk makan malam bersama.

"Turun dulu. Ikut I." Arah Maximus Randell sambil tersenyum-senyum.

Arahan demi arahan dari Maximus Randell dipatuhi tanpa bantahan oleh Madeline Sumang. Kalau sebelum tertidur di dalam kereta, mereka melihat keindahan pelangi. Kali ini apa pula kejutan yang diberikan oleh Maximus Randell?

"Come, ikut I."

Bergetar dada Madeline Sumang saat Maximus Randell berani menggenggam tangan kirinya. Hendak ditepis, takut menjatuhkan air muka lelaki itu. Sedangkan orang ramai sedang memerhatikan rentak kaki mereka di sepanjang Kuching Waterfront.

"You, lepaskan tangan I. Rimas la nak jalan macam ni." Pinta Madeline Sumang lembut. Walhal saat itu mukanya setebal tembok besar Cina. Malu menjadi perhatian orang ramai di situ.

"Nope. I tak akan lepaskan you di sini. Lagipun, buat apa nak takut. Bukan I boleh buat apa-apa dekat sini. Tak akan I hilang waras... ini kan public place." Sengaja Maximus Randell mengusik wanita itu. Seronok dia melihat pipi kemerahan Madeline Sumang ketika menahan malu dari panahan mata orang ramai terutama sekali jelingan demi jelingan yang sengaja dia khaskan buat Madeline Sumang.

Malas Madeline Sumang hendak melawan desakan Maximus Randell. Dia ikutkan sahaja ke mana hala lelaki itu menyeret tangannya. Sampai di satu tempat barulah kaki Maximus Randell berhenti melangkah.

"Nasib baik kita on time. Cruise tak jalan lagi." Omel Maximus Randell di tepi telinga Madeline Sumang.

Bulat mata Madeline Sumang. Tidak mungkin mereka hendak naik kapal yang sedang berlabuh di tepi Sungai Sarawak tersebut.

"Jom, kita masuk dulu. Nanti kena tinggal pula."

Hairan! Madeline Sumang ikutkan juga langkah kaki Maximus Randell menaiki Sarawak River Cruise. Dari 'deck' bawah mereka naik ke tingkat atas sekali. Maximus Randell menghulur sekeping kertas kepada pelayan di situ.

Tidak berapa lama, pelayan tersebut membawa mereka ke satu tempat. Agak tersorok dari orang ramai yang mula membanjiri tingkat atas.

Mereka duduk di tempat yang amat ringkas dan santai. Menghadap panorama di sekeliling Sungai Sarawak. Sangat sesuai untuk mereka menghayati keindahan pemandangan di sekitar sungai tersebut.

Angin petang, sepoi-sepoi bahasa menyejukkan kulit mereka pada petang tersebut. Rambut panjang tanpa diikat berterbangan ditiup angin petang tersebut. Cantiknya, pada penglihatan mata Maximus Randell. Tidak berganjak mata hitam pekat lelaki tersebut memaku pandangan ke arah Madeline Sumang.

'Selama ini aku sangat rindukan, you, May. Tak aku sangka kita masih mempunyai peluang untuk bersama dan menghayati detik ini.' Luah Maximus Randell tanpa suara.

"Kenapa kapal ini?" Soal Madeline Sumang untuk mengalihkan pandangan mata Maximus Randell dari terus meratah wajahnya. Bukan sahaja segan tetapi dia tidak sanggup menahan rentak jantung yang semakin mengila di dalam dadanya.

Gatalnya tangan Maximus Randell. Teringin sangat dia hendak membelai wajah putih kemerahan di tepinya. Tetapi tersilap perhitungan buruk pula padahnya nanti. 'Burung' mula jinak jangan pula tersilap langkah. Dek kerana kerakusan diri, 'burun' terlepas lari. Siapa yang susah?

"Remember, dulu you pernah ajak I naik kapal ini, tetapi I tolak. Sebab sibuk sangat dengan kerja I."

Tenang Madeline Sumang menghayati pemandangan di sepanjang Sungai Sarawak. Matahari pula semakin jatuh di ufuk barat. Langit jingga mula melabuhkan tirainya. Indah sungguh warna ciptaan Tuhan ini.

Dalam masa tersebut dia, mengimbas kembali kenangan lama mereka. Bermula di titik yang berkaitan dengan kapal ini. Bukan main seronoknya dia, ketika Maximus Randell merancang membawa dia naik kapal ini untuk menghayati matahari terbenam di sepanjang Sungai Sarawak.

Dan dia amat hampa ketika Maximus Randell, membatalkan rancangan mereka kerana tugas pada saat akhir. Masih ingat malah sangat jelas. Dia merajuk selama tiga hari tidak menghubungi mahupun menjawab panggilan dari Maximus Randell. Sampailah, dia digula-gulakan dengan tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur dan seterusnya membawa mereka ke Genting Highland.

"Still fresh. Rasa baru semalam kenangan itu terjadi. Dan kerana merajuk I tersilap langkah...."

Di hujung ayat, suara Madeline Sumang hampir tidak kedengaran. Hanya suara serak, jelas pada telinga Maximus Randell.

"Baby...." Lemah jiwa Maximus Randell melihat wajah ceria Madeline Sumang mula muram. Apa yang sudah dia lakukan? Niat untuk mengembirakan si pujaan hati. Bukan untuk menoreh lukanya semula.

"Cukuplah. Jangan dikenang benda yang sudah lepas. I janji, I tak akan sentuh you selagi kita belum diikat sebagai suami isteri mengikut kehendak you. Kalau sampai I hilang kawalan, you boleh bertindak mengikut pertimbangan you ketika itu. It's okay. I faham." Jelas Maximus Randell sejujurnya. Lelaki dewasa seperti dia, amat sukar untuk mengawal nafsu. Tambahan lagi bila bersama dengan wanita yang memenuhi setiap ruang dalam dirinya.

Hanya pemikiran sihat yang mampu menghalang dari dia bertindak seperti lelaki yang tidak bertemadun.

"Ya... kita mula episod lain." Tambah Madeline Sumang. "Saya, May. Ibu tunggal. Ada anak dua orang. Orang yang nak berkenalan dengan saya kenalah berkenalan dengan anak-anak saya juga. Kalau dia nak ambik saya, dia kena ambik anak-anak saya juga. You know... kami adalah satu package. Buy one free two."

Laju Maximus Randell menelan air liur. Mahu pengsan kalau beginilah gaya Madeline Sumang berkenalan dengan lelaki lain.

"Ohh! Hai, May... I sudi ambik package yang you offer tadi." Lalu lelaki itu menoleh ke arah Maximus Randell. "Sorry, I mencelah." Dia pandang Madeline Sumang semula. "I really mean it, May. Pagi tadi, I dah tanya Ayah you."

Madeline Sumang bungkam. Begitu juga Maximus Randell. Apakah permainan takdir ini? Baru sahaja mereka hendak mencari keserasian semula. Begini pula kejutan yang disampaikan oleh lelaki ini.

"Apa cerita ni, Bro? She is with me." Jerkah Maximus Randell. Terbakar segala usus perutnya ditadahkan dengan cerita tergempar ini. Bila melibatkan Ayah, makin malaplah peluang untuk dia memiliki May dan anak-anak semula. Mahu dia mati terduduk kalau benda ini betul-betul terjadi.

Lelaki itu tersenyum sinis. Atas bawah dia pandang penampilan Maximus Randell. Boleh tahan. Kacak, bergaya dan ada karisma. Mesti dari golongan orang yang terpelajar. Kalau tidak silap dia pernah terserempak dengan lelaki ini.

"And you are?"

"Kita pernah jumpa la...." Kata Maximus Randell dalam nada suara yang sedikit tinggi. Bengang betul dengan si Adam. Tak tahu adap ke? Orang tengah berdua-duaan berani pula dia datang mencelah. Muka tebal serupa kulit badak!

"Eh, Adam... ini Max la. Yang dekat rumah I semasa you datang beberapa hari yang lepas." Sampuk Madeline Sumang.

"Max, ya? Maximus Randell betul kan?" Sinis Adam mengajuk penjelasan Madeline Sumang. Meluat sungguh dia

Maximus Randell mengangguk laju. Tahu pun siapa dia. Baguslah sekurang-kurangnya Adam boleh sedar diri. Jangan pandai-pandai hendak menjadi duri di dalam hubungan dia dan Madeline Sumang. Boleh juga lari jauh-jauh agar senang kerja dia hendak menyatukan ahli keluarganya.

"Kita bersaing, Bos. Best man win!"

Apa Adam ingat Madeline Sumang dan anak-anaknya adalah barang yang boleh dibeli sesuka hati? Darah daging dia tidak mungkin dia akan serahkan kepada Adam.

"No. She is mine. Anak-anak dia adalah anak-anak I. Mana boleh you datang nak ambik dia dari tangan I macam tu sahaja. Benda ini bukan barang mainan yang kita boleh pertaruhkan. This is about my family, Adam."

Adam tersenyum sinis. Apa dia ingat, Adam tidak tahu ke berkenaan jantan yang bernama Maximus Randell ini? Dia tahulah! Sangat-sangat kenal! Paling dia tahu sekali, Ayah Madeline Sumang begitu bencikan Maximus Randell. Dan itu telah memberikan satu kelebihan kepadanya.

"Fuh! Family, ya? Lama ni, mana kau pergi? Aku tak nampak pun kau ada dengan May atau budak-budak tu."

Geramnya Maximus Randell. Boleh Adam sesuka hati melontarkan tuduhan berat itu. Kalau diikutkan perasaan marah, boleh tanggal gigi Adam dia kerjakan.

"You siapa, Adam. Hal I dengan May tak ada kaitan pun dengan you."

"Wow! Tak ada kaitan, ya?" Adam menoleh ke arah Madeline Sumang. "Boleh you jelaskan kepada bekas tunang you ini, siapa yang ada bersama you semasa you susah dahulu? Adakah dia, May?" Sambung Adam.

Silih berganti Madeline Sumang memandang mereka. Serba salah. Adam adalah kawan baiknya. Maximus Randell pula bekas kekasihnya. Tetapi betul ke Maximus Randell adalah bekas kekasihnya? Padahal, dia belum membuang lelaki itu dari penjuru hatinya.

"Adam, I rasa baik you pergi dari sini. Lagipun, tadi I keluar dengan Max. Kami perlukan ruang, tanpa you bersama kami. Terima kasih. I tahu you faham maksud I."

Tergamam Adam apabila ternyata Madeline Sumang tidak menyebelahinya.

"Sampai hati, you, May. Kau ada dia, kau tolak aku ke tepi. Jangan ingat aku nak mengalah dengan mudah. Bapa you terima aku, you tetap milik aku juga. Sekali package dengan tanah you."

"Eh! Apa ni, Adam! Melalut sampai ke hal tanah tu, kenapa? Tanah itu hak aku dan bukan seratus peratus atas nama aku." Marah Madeline Sumang. Apa yang merasuk Adam? Selama ini tidak pula ada tanda-tanda bahawa Adam adalah seorang kaki ugut, tamakkan duit ringgit. Dia selalu nampak peribadi Adam adalah baik. Kalau Adam berperangai seperti sekarang, dia pun tak ingin hendak berkawan dengan Adam.

Memandangkan Madeline Sumang sudah melenting marah terhadap Adam, apa lagi Maximus Randell masuk campur dalam pertelingkahan di antara Madeline Sumang dan Adam. Peluang yang baik, kenapa perlu ditolak?

"Adam, I rasa baik you blah dari sini. Sebelum I hilang sabar. Dan jangan you ingat lagi pasal tanah,  May. Itu hak dia. Dia ada geran tanah. Tak ada sesiapa yang boleh ambil tanah tu melainkan May jual."

"Baik. Aku blah dulu. Tapi aku tak akan berdiam diri. Hal kita tak selesai lagi, May. You akan kahwin dengan I juga dalam masa terdekat ini. Be prepare!" Gertak Adam dengan penuh rasa amarah. Tetapi dia akur juga dengan permintaan Maximus Randell dan Madeline Sumang. Itupun disebabkan mata orang ramai mula menala ke arah mereka bertiga.

"Are you okay, May?"

"Nak okay apa nya? Bagi rosak mood. Dari mana dia tu datang pun tak tahu. Tiba-tiba ajak I kahwin dengan dia. Tak ada laki pun aku tak ingin la kahwin dengan orang macam tu." Bebel Madeline Sumang tanpa menyedari rekahan bibir Maximus Randell. Ya la, bebelan Madeline Sumang telah memberikan satu harapan baru kepada Maximus Randell.

"Hurmm. I, Max. Pernah bertunang tetapi I tinggalkan tunang I. Dan baru sekarang I tahu I ada dua orang anak. Bila melihat mereka seolah-olah memberikan satu aliran tenaga baru di dalam diri I. Saat I lihat wajah mereka, hati I terus jatuh rasa sayang yang tidak terhingga."

Madeline Sumang tebalkan mukanya. Luahan hati Maximus Randell amat menyentuh hatinya ketika itu. Hilang amarah mengenai kebebalan Adam sebentar tadi.

"Apa jadi dengan tunang, you?"

Senyum mesra di wajah ceria Maximus Randell. Ya lah, pujaan hati sedang melayan usikannya.

"Tunang I sebenarnya adalah ibu kepada anak-anak I. Tetapi... I ada satu masalah besar, ibu anak-anak I masih merajuk. Sampai sekarang pun I tak boleh pujuk dia lagi."

Madeline Sumang mengulum senyum. Matanya dilarikan ke arah matahari yang sedang terbenam. Kecantikkan suasana mengindahkan lagi butir bicara mereka. 

"Ohh! Degil juga ibu anak-anak you. Kesian."

Maximus Randell tidak melepaskan peluang dari terus menatap senyuman manis Madeline Sumang. Rindunya dia melayan setiap Madeline Sumang bersembang dengan dia.

"Kalau you kesiankan I, tolonglah I."

"Bagaimana nak tolong you? Sedangkan I ada dua orang anak juga."

"Kalaulah you sudi tolong I, since you pun ada anak, apa kata you jadi girlfriend sementara I. Ini cadangan I saja, tau. Kalau you setuju I on sahaja."

Madeline Sumang melopong. Sukar untuk dia menerima cadangan Maximus Randell. Apa kes menjadi teman wanita Maximus Randell? Bukan itu yang dia inginkan, okay.

"Apalah cadangan merapu you ni? Tadi kan I dah kata, nak ambik I kena ambik cara baik, sekali dengan anak-anak I. Satu package, lupa?"

Lagi lebar Maximus Randell tersenggih. Kali ini, misinya hampir berjaya. Terima kasih, Adam. Kalau tidak kerana kemunculan Adam tadi, belum pasti Madeline Sumang akan secepat ini mengambil keputusan.

"Jadi, kalau macam tu kiranya you sudi la, menjadi Ibu kepada anak-anak I? Tadi I ingat cuma nak cari girlfriend sementara sahaja. Dah you kata macam tu, kiranya jadi la rancangan kita ni. You terima I. I terima you... nak kenal-kenal dulu ke nak terus kahwin?"

"I tak nak pisang berbuah dua kali. Kalau suka kahwin terus la. Tak nak buang masa dengan bercinta."

"Betul ni?" Soal Maximus Randell seakan-akan tidak percaya dengan penerimaan Madeline Sumang.

"Pernah you tanya tunang you tu... Apa pendapat dia semasa you tinggalkan dia?" Tenggelam timbul suara Madeline Sumang menyoal soalan keramat tersebut. Tetapi dia gagahkan juga. Biar puas dia mendengar jawapan dari Maximus Randell.

Tajam renungan mata Maximus Randell memandang wajah mulus Madeline Sumang ketika itu. Tidak dia sangka sama sekali bahawa Madeline Sumang masih mempunyai tanda tanya yang harus dia jelaskan mahupun mendengar penjelasan Madeline Sumang juga.

"No, baby. I ingat you mesti tidak akan memaafkan I lagi. Apa yang I buat dahulu adalah perkara yang dilakukan di luar akal yang waras. Kalau you tak maafkan I, I faham. Jangan paksa diri sendiri untuk memaafkan perbuatan I dahulu. Cukuplah kalau you terima I semula. I sudah jatuh sayang dengan anak-anak kita. Tolonglah bagi l peluang."

Sayunya hati Madeline Sumang bila melihat airmata lelaki itu mula mengalir deras. Begitulah keadaan dia dahulu semasa dia mengemis janji Maximus Randell. Tetapi sampai hati lelaki itu meninggalkan dia. Kini adakah dia sanggup membiarkan Maximus Randell seperti dirinya dahulu? Apa bezanya antara dia dan Maximus Randell kalau dia sekejam Maximus Randell juga?

"Lima tahun, telah mengajar I erti pasrah dalam mengharungi liku-liku takdir kehidupan kita. I redha dengan apa yang telah terjadi. Banyak hikmah yang saya temui selama lima tahun ini. Cuma... semasa you sampai, I ingatkan I kuat tetapi rupanya tidak. I masih ingat derita yang I tanggung selama ini. Amarah datang semula. I marah dekat you. I marah diri sendiri...."

"May, you berhak marah kepada I. Tetapi bukan marah diri you sendiri. I lah penyebab segala derita you selama ini."

"You tahu, kenapa I marah diri I sendiri...."

"No."

"Kerana I tak bagi Ayah putuskan pertunangan kita dahulu. I masih mahu mengikat diri dengan you, Max. Sampai ke hari ini, Ayah marah disebabkan hal ini."

"Tapi... kenapa? You patut benarkan Ayah memutuskan pertunangan kita dari Mak dulu. Kalau benda ini tidak dibuat, sampai bila-bila kita masih terikat. Dan yang menanggungnya you seorang, May. I tidak tahu hal ini. I ingatkan kita sudah putus tunang."

"I tak boleh hidup tanpa you, Max. That is the reason... dan sehingga ke hari ini, I masih harapkan you pulang semula ke pangkuan kami."

Maximus Randell merapatkan kedudukan mereka. Biar dia puas hati mendengar luahan hati Madeline Sumang sejelas-jelasnya.

"Well, I am here, May. I tak akan tinggalkan you dan anak-anak lagi. That is my promise."

"You janji, tidak akan lukakan hati I lagi?" Madeline Sumang sumbatkan mukanya di atas dada lelaki itu. Malunya dia setelah meluahkan segala isi hatinya.

"Ya. I janji. Asalkan you sanggup kahwin dengan I." Kata Maximus Randell dalam bebunga kasih bersama senyuman semanis madu. Kepala Madeline Sumang menjadi sasaran tangannya. Ingin dia cium kepala wanita itu, tetapi takut disalah ertikan perbuatannya nanti.

Pada saat mereka selesai merungkai perasaan masing-masing, kapal tersebut berlabuh semula di tebing yang mereka naik tadi. Keadaan yang tepat sekali, di mana perut perlu di isi dan tekak pula meminta dibasahi.

"Baiklah... Mari kita turun dari sini. I pun sudah mula lapar. Kita makan seafood di Top Spot, boleh?"

Sama seperti Madeline Sumang, Maximus Randell pun mula merasakan bunyi perut yang minta di isi juga. Tambah lagi, begitu lama dia tidak makan di Top Spot. Satu ketika dahulu, tempat itu adalah tempat pilihan mereka untuk makan malam.

"Anything, baby. Top Spot we go...."

"I nak makan Ambal goreng cili kering. Lama tak makan."

"I pun lama tak makan. I rasa last makan Ambal, semasa last dinner kita di sana." Sambung Maximus Randell.

Madeline Sumang tersenyum. Tali pinggang kereta dipasang kemas.

"Samalah kita. Hari ini, I nak makan Ambal sepuas-puasnya. You jangan bising."

Panduan empat roda itu diarahkan ke Top Spot yang terletak beberapa meter sahaja dari kawasan mereka parking tadi.

"Yup. I pun sama. Nak makan Ambal sepuas-puasnya. You jangan bising juga." Kata Maximus Randell sambil memulas stering.