Thursday 13 March 2014

Kisah Cinta Kita Bab 18

Semenjak Wardina Wahyu di Hospital, Eamad Faliq berulang alik setiap hari melawat Puan Rabiatul dan Wardina Wahyu. Manakala Encik Ahmad Fikri memberikan  perhatian yang lebih kepada projek-projek mereka. Kerja semakin bertambah dengan kehilangan Hisham pula.

Kebanyakannya Aerwyna Aberdeen yang banyak membantu mengendalikan projek-projek tersebut dan termasuklah projek usaha sama dengan Syarikat Gill Holding.

Seperti petang yang lain, Eamad Faliq melawat Wardina Wahyu dan Puan Rabiatul pada petang tersebut. Setibanya, dia di sana alangkah terkejutnya dia, apabila melihat Wardina Wahyu mengamuk lebih teruk dari hari-hari yang sebelumnya.

Tiada cara lain untuk mengawal amukan Wardina Wahyu melainkan, Doktor dan Jururawat terpaksa mengikat tangannya untuk menggelak keadaan yang lebih teruk lagi.

Botol-botol 'drip' dan segala jenis ubat bertaburan di atas lantai. Eamad Faliq masih mendiamkan diri, menahan gelodak perasaan marah.

Manakala Puan Rabiatul menanggis teresak-esak, duduk di tepi dinding dengan kaki dan tangan rapat ke badannya. Perasaan pilu menyelubungi hati Eamad Faliq apabila mata bertentanggan dengan mata sembab Puan Rabiatul.

Antara hati dan akal, Eamad Faliq terpaksa mempertimbangkan apa jua kemungkinan dengan penuh telus. Dia sedar bahawa mengalas tanggung jawab sebagai seorang Abang yang sulung adalah teramat besar pada ketika itu.

Eamad Faliq amat memahami, mengapa Wardina Wahyu menjadi seperti sekarang. Setiap hari semenjak sedar Wardina Wahyu berkehendakan yang satu itu... meminta sesuatu yang tak masuk akal. Jika tidak diturutkan beginilah keadaannya.

Pada ketika ini, Wardina Wahyu tertidur akibat kesan daripada ubat penenang.

"Apa la kita nak buat dengan Wahyu, Faliq? Ibu sudah tak sanggup melihat dia macam ni. Hari-hari bertanyakan budak lelaki tu. Kalau, Faliq tahu berkenaan dengan budak tu, tolonglah cari sekejap. Bagi adik kamu jumpa dengan dia...." Esakan Puan Rabiatul semakin menjadi. Desakan hati seorang ibu akhirnya terluah juga.

"Ibu, saya takut bila kita bagi Wahyu jumpa dengan Fabian keadaan akan menjadi semakin rumit. Dia ada isteri, Ibu. Berdosa besar kalau disebabkan Wahyu, rumah tangga mereka runtuh." Dengan penuh kasih sayang, Eamad Faliq mengusap belakang Puan Rabiatul.

"Kalau, Faliq berat hati nak tunaikan permintaan Wahyu, biar ibu sahaja yang pergi merayu."

Eamad Faliq berkerut kening.

"Ibu... kenapa kita perlu buat macam tu? Esok, lusa... baik juga, Wahyu nanti. Selama ini kita biarkan saja dia dengan sikap degil, berpeleseran konon nak berdikari tetapi bersuka ria di luar. Dan sekarang kita nak turut kan lagi permintaan gila dia tu? Menambah lagi dosa kita adalah, kalau kita ikut kehendak dia." Lembut Eamad Faliq bersuara menghuraikan pendapatnya kepada Puan Rabiatul.

"Habis tu, tak akan kita nak biarkan Wahyu macam tu sahaja? Doktor sudah bagi tahu Ibu tadi. Dia kena makan sikit sebelum kita bawa dia keluar dari sini."

Kini Eamad Faliq tersentap dengan soalan dari Puan Rabiatul.

"Walau apa pun yang terjadi, saya tak boleh ikut permintaan Wahyu. Ibu minta pandangan daripada Ayah pula. Saya tidak boleh menolong untuk perkara ni. Kalau sampai Wahyu memudaratkan diri sendiri, siapa kita untuk menghalang kehendak Allah? Jangan pula kita semakin mendekatkan dia dengan neraka jahanam. Kita kena ingat tu, Ibu."

Eamad Faliq terpaksa bertegas dengan Puan Rabiatul yang sudah hilang pertimbangan disebabkan Wardina Wahyu.

Tetapi bagi Puan Rabiatul, Ibu mana lah yang boleh menelan bulat-bulat kekecewaan anak. Dia yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan perasaan keibuan mendorongnya untuk memberi apa yang Wardina Wahyu minta.

"Kalau kita tak buat macam tu, sama juga. Adik kamu sanggup mati kalau tak jumpa dengan budak tu... Faliq, fikir dulu... Ibu lagi takut kalau fikirkan hidup mati ni. Kita baru sahaja kehilangan Hisham. Jangan ditambah dengan Adik kamu pula. Masih bernyawa masih ada harapan untuk bertaubat tetapi kalau nyawa sudah hilang... tiada peluang untuk dia bertaubat. Itu yang, Ibu fikirkan." Nafas lega meluahkan apa yang berbuku di hati dihembus perlahan.

Lama Eamad Faliq bungkam...

"Ibu... kita kena redha. Berdoalah kepada Allah agar menjaga hati kita dan melindungi kita dari segala perkara yang tidak kita ingini. Kita rendahkan diri kita kepadaNya agar diberi hidayah kepada Wardina Wahyu. Selebihnya kita berserah kepada Allah."

Mendengar pencerahan dari Eamad Faliq membuatkan Puan Rabiatul berfikir semula berkenaan baik buruk permintaannya tadi.

Sebagai seorang anak, Eamad Faliq memahami keadaan Puan Rabiatul yang tertekan dengan permintaan Wardina Wahyu.

"Malam ini biar saya temankan Wahyu di sini. Ibu, balik... berehat secukupnya. Jangan terlalu risaukan Wahyu. Balik, solat dengan tenang. Kita perbanyakan doa."

Redup mata Puan Rabiatul memandang wajah tenang Eamad Faliq. Sejuk perut yang mengandung bila dikurniakan anak yang bijak berfikir serta beriman. Sayu pula hati apabila seorang lagi anak hilang pedoman hidup...

"Betul, Faliq boleh temankan Wahyu, malam ni? Esok nak kerja lagi. Larat ke?" Puan Rabiatul mengukir senyum nipis.

"Ibu, balik lah... Insha Allah, saya okay." Tangan tua Puan Rabiatul ditepuk perlahan.

"Kalau macam tu, Ibu balik dengan Ayah nanti...."

Lapang dada Eamad Faliq apabila dia sudah menunaikan suruhanNya. Malam pula masih muda lagi dan mata pun belum mengantuk. Niat untuk membaca Surah Yassin diteruskan.

Lancar sekali Eamad Faliq mengalunkan bacaan Yassin, di tepi katil Wardina Wahyu. Suasana yang sepi tanpa gangguan dari Jururawat yang bertugas dan pada ketika itu Wardina Wahyu, ditemani mimpi-mimpi indah. Alunan suaraa Eamad Faliq meresap masuk ke halwa telinga dan sanubari bagi setiap orang yang mendengar.

Betapa khusyuk dan tawaduk Eamad Faliq menyerahkan diri ke atas keredhaan Allah memohon agar dilembutkan dan diberikan hidayah kepada Wardina Wahyu.

Dalam kekhusyukan Eamad Faliq, dia tidak menyedari manik-manik jernih Wardina Wahyu mengalir setitik demi setitik membasahi pipi halusnya.

Dalam degil tetapi jiwanya tetap lembut, dalam kehilangan pedoman terhadap Allah, Wardina Wahyu belum pernah lupa tentang kewujudanNya. Nun jauh di sanubari, dia tahu dia sudah leka dengan cinta duniawi. Dia sudah hilang kepercayaan kepada yang Esa apabila doa yang di pohon bertahun tidak dijawabNya.

Esakan tangisan Wardina Wahyu semakin bergema bersama alunan tajwid tanpa pincang Eamad Faliq. Menyentuh hati Wardina Wahyu yang sedang rapuh dalam mencari identiti diri sendiri.

Wardina Wahyu merasakan betapa kecil dirinya kerana, sudah  bertahun dia hidup di dalam gelombang dosa tidak mempedulikan pegangan hidup dan suruhanNya. Dia malu kepada diri sendiri dan terutama sekali kepada penciptaNya.

Eamad Faliq menutup bacaan setelah berselawat ke atas Nabi Muhammad. Lalu dia menoleh kepada Wardina Wahyu yang sedang terbaring di atas katil.

Wardina Wahyu masih belum membuka matanya. Barangkali masih merenungi diri sendiri.

"Wahyu, kalau sudah tak boleh tidur, bangun. Kalau sudah lapar, makan. Kalau sudah haus kena minum sikit dan kalau boleh solat maka kamu kena solat." Eamad Faliq bersuara juga akhirnya.

Namun Wardina Wahyu masih mendiamkan diri, belum berkeinginan untuk bersuara mahupun berbual dengan Eamad Faliq.

"Dalam keadaan jiwa yang tertekan seperti sekarang, kamu perlu solat dan berdoa agar dipermudahkan segala kesulitan kamu. Bermunajatlah dengan Allah. Insha Allah kamu akan lebih tenang menerima ketentuan hidup ini." Tutur Eamad Faliq dengan tenang sambil dia duduk menyandar di atas kerusi.

Lantas Wardina Wahyu menoleh.

"Kenapa saya yang harus diuji sebegini besar? Kenapa, Abang Long?"

Eamad Faliq tersenyum.

"Maka kamu harus bersyukur dengan setiap ujian yang Allah berikan. Kerana dengan setiap ujian tersebut kamu akan kenal erti kesilapan, nikmat susah dan senang...."

"Tetapi... saya sedih. Teramat sakit apabila diperlakukan sebegini. Sudah lah patah kaki, buah pinggang pula tinggal satu." Wardina Wahyu mengetap, terbuai menyalahkan perjalanan hidup.

Lembut Eamad Faliq merenung wajah suram Wardina Wahyu.

"Wahyu... kenapa nak bersedih dengan takdir hidup kita. Setiap kesedihan itu, Allah akan dihadirkan nikmat yang tak terhingga. Allah masih sayangkan kamu dengan patah satu kaki dan buah pinggang yang sebelah masih elok lagi."

Wardina Wahyu tersentap.

"Kenapa, Abang Long cakap macam?"

Senyum tersungging.

"Pernah tak Wahyu terfikir... kerana Allah hendak selamatkan Wahyu. Patah kaki, Wahyu tak memijak kaki ke kelab malam. Hilang buah pinggang, membataskan Wahyu dari minuman keras yang akan menghancurkan tubuh badan. Yang penting sekali menyelamatkan Wahyu dari terus hanyut dalam kehidupan yang dilaknatiNya."

Nafas berat dilepaskan, figura Fabian Freston melintasi mindanya.

"Kalau Allah begitu menyayangi saya. Kenapa pula doa saya tidak dimakbulkan? Bertahun saya bercinta dengan Fabian tetapi akhirnya dia tinggalkan saya, berkahwin dengan perempuan lain." Manik-manik jernih berguguran semula apabila terkenang kisah lampau dia bersama dengan Fabian Freston.

Eamad Faliq bersimpati dengan kekecewaan Wardina Wahyu. Namun kekuasaan Allah mengatasi segalaNya.

"Wahyu... Bila Allah tidak memakbulkan doa kita, itu bermakna Allah sedang merancang yang terbaik bagi kita. Sentiasa bersangka baik pada Allah. Insha Allah akan dihadirkan seorang lelaki yang beriman serta boleh membimbing Wahyu ke arah keredhaan Allah. Boleh menjadi Khalifah kepada Wahyu dan anak-anak."

Keadaan pegun seketika membiarkan Wardina Wahyu melepaskan apa yang berbuku di hati.

"Lagipun kebahagiaan kita, tidak semestinya kita perolehi daripada orang yang kita cintai tetapi, percayalah kebahagiaan tersebut bisa kita gapai melalui orang yang menyayangi kita. Lebih nikmat lagi apabila hubungan tersebut berlandaskan hukum Islam."

Akhirnya Eamad Faliq menarik nafas lega apabila sudah meluahkan apa yang perlu dilakukan dengan Wardina Wahyu.
Biarpun bukan semua yang akan dihadam oleh Wardina Wahyu tetapi syukurlah dia sudah menjalankan tugas sebagai seorang Abang. Boleh beriteraksi secara baik dengan Wardina Wahyu seperti tadi pun sudah cukup baik. Dimana beberapa malam lepas, langsung tidak boleh diajak berbincang.

"Apa yang saya harus buat untuk menghilangkan rasa cinta ini, Abang Long? Bagaimanakah saya hendak memadamkan nama Fabian dari dalam hati saya? Bahkan sekarang ini, bagaikan hendak gila saya merindui dirinya. Seluruh jiwa dan perasaan saya adalah miliknya." Semakin laju rembesan manik-manik jernih mengalir melalui pipi Wardina Wahyu.

Laju Eamad Faliq menggeleng, rupa-rupanya si adik masih lagi taksub dengan Fabian Freston.

"Istighfar... Wardina Wahyu! Jangan diikutkan sangat perasaan dalam hati tu. Kalau betul ingin berubah, bermula dengan solat dahulu. Minta Allah ringankan beban kamu."

Wardina Wahyu masih mendiamkan diri bersama dengan tangisan.

"Solat adalah ubat yang paling mujarab bagi sakit yang kamu tanggung sekarang ini, Wahyu. Buatlah bila kamu sudah bersedia walaupun kamu masih terlantar di atas katil sekalipun. Esok Ibu ada, minta lah tunjuk ajar darinya." Sambung Eamad Faliq dengan senyuman menghiasi bibirnya

Tiba-tiba Wardina Wahyu tersenggih...

"Abang Long, nak makan sikit. Ada apa-apa yang saya boleh makan lagi tak?"

Berkerut seribu kening Eamad Faliq apabila mendengar permintaan daripada Wardina Wahyu.

"Apa pula tak ada, bubur nasi Abang beli tadi masih belum disentuh lagi tu." Eamad Faliq senang hati menghidangkan, bubur tersebut kepada Wardina Wahyu.

Sambil memerhatikan Wardina Wahyu makan, terdetik di hati Eamad Faliq untuk bertanya lebih lanjut mengenai keadaan yang sebenar. Dia memerlukan penjelasan dari Wardina Wahyu berkenaan dengan kehidupannya sekarang.

Tajam mata Eamad Faliq memandang Wardina Wahyu yang menyuap sesudu bubur.

"Setahu Abang, dulu Wahyu bukan macam ni, Wahyu anak yang baik, taat dan suruhanNya pun Wahyu tak pernah tinggalkan. Jadi kenapa boleh begini keadaan, Wahyu sekarang?"

Wardina Wahyu meletakan sudu di dalam mangkuk bubur. Matanya beralih kepada Eamad Faliq.

"Kenapa Abang Long nak tahu? Rasanya itu hal peribadi saya. Jadi saya rasa Abang Long tak ada hak untuk ambil tahu."

Eamad Faliq tersenggih dan menggeleng.

"Silap pendapat, Wahyu. Selagi Wahyu tak kahwin maka apa yang Wahyu buat adalah tanggung jawab Ayah, Ibu dan Abang Long. Setiap salah laku yang Wahyu buat Ayah yang akan jawab dengan Allah di padang Masyar nanti. Tak akan Wahyu sudah lupa dengan apa yang Wahyu pernah belajar dahulu? Rasanya sudah cukup ilmu Agama yang Ayah dan Ibu berikan kepada kita." Tegas Eamad Faliq menegur kesilapan Wardina Wahyu. Memperbetulkan segala tanggapan yang negatif.

Wardina Wahyu terdiam. Menilai semula apa yang Eamad Faliq katakan sebentar tadi. Senyuman yang belum lekang di bibir Eamad Faliq menyuntik satu perasaan aneh. Dia tersegan sendiri apabila mengenangkan betapa jauh dia tersasar dari landasan Agama.

Semakin dia ingin menjauhkan diri dari keluarga dengan alasan, untuk hidup berdikari semakin Allah mendekatkan dia dengan ahli keluarganya.

"Saya sendiri pun tak tahu kenapa, tetapi mungkin disebabkan saya mudah terpengaruh dengan cara hidup kawan-kawan dan hadir perasaan cinta yang amat mendalam terhadap Fabian Freston. Sehingga saya boleh lalai dalam segalanya...." Airmata kekesalan gugur sekali lagi. Terlintas difikiran menyesali tindakan masa lampau dan kerana cinta dia hilang pertaruhan harga dirinya.

Eamad Faliq menarik nafas berat lalu menghembuskan perlahan-lahan. Dia dapat merasakan betapa terseksa jiwa Wardina Wahyu.

"Bertaubatlah, Wahyu. Kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap kamu. Jangan diulangi khilaf yang lalu. Allah menyayangi setiap umatNya dan pintu taubat masih terbuka luas untuk kamu." Redup Eamad Faliq memandang Wardina Wahyu yang masih tersedu-sedu.

"Saya tahu dan saya akan fikirkan semula. Bagi saya masa ya, Abang Long." Sendu wajah Wardina Wahyu meminta pandangan daripada Eamad Faliq.

Eamad Faliq tersenyum senang.

"Boleh berfikir tetapi jangan terlalu lama. Sebab kita tidak tahu bila Allah akan tarik nafas kita. Takut nanti, belum sempat bertaubat nyawa kita pula ditariknya... Nauzubillah min zalik."

Air liur ditelan Wardina Wahyu. Perasaan takut pula menyerang hati. Terkenangkan Hisham, tiba-tiba hatinya pedih bagaikan ditusuk sembilu.

Berkat malam tersebut Eamad Faliq berjaya melembutkan hati keras Wardina Wahyu. Memberikan ruang nafas baru untuk pintu taubat.

Setelah makan beberapa sudu, Wardina Wahyu kembali menyambung tidur. Manakala Eamad Faliq termenung jauh memikirkan jalan untuk mendekatkan Wardina Wahyu dengan Ilahi.

#########################

Hari ini Eamad Faliq agak lambat sampai di Pejabat. Dengan mata sembab akibat tidak cukup tidur malam tadi.

Sebaik sahaja dia selesai menunaikan sembahyang subuh di surau Hospital dia terus pulang ke rumah. Bersiap sedia untuk turun ke pejabat pula.

Aerwyna Aberdeen pula, menunggu kedatangan Eamad Faliq semenjak dia sampai di pejabat, awal pagi tadi. Sekali lagi projek usaha sama dengan Syarikat Gill Holding memerlukan khidmat Eamad Faliq sebagai Pengurus Projek tersebut.

Tangan Aerwyna Aberdeen baru hendak mengetuk pintu bilik pejabat Eamad Faliq, tiba-tiba dia terdengar suara Ahmad Fikri berbual dengan Eamad Faliq.

Bukanlah niat dia ingin mengintip perbualan anak beranak tersebut. Tetapi dia dapat mendengar dengan jelas butir-butir perbualan mereka. Perbualan mereka menarik minat Aerwyna Aberdeen agar untuk terus mengikuti butir bicara mereka.

"Adik kamu macam mana, Faliq? Masih lagi bertanyakan lelaki tu? Malam tadi, kamu dapat pujuk dia agar menjamah makanan sikit? Tak habis-habis bagi kita risaukan hal dia." Encik Ahmad Fikri bertanya perihal Wardina Wahyu dari Eamad Faliq.

Eamad Faliq tersenyum kecil.

"Banyaknya soalan, nak saya jawab yang mana satu dahulu?"

Encik Ahmad Fikri menggeleng.

"Main-main pula dia, apa cerita adik kamu malam tadi?"

Semakin lebar pula senyuman Eamad Faliq.

"Insha Allah, Ayah. Wahyu akan berubah dalam masa terdekat. Kita doakan yang terbaik bagi dia. Malam tadi, dia makan sedikit. Berkenaan dengan Fabian tu, kita biarkan dahulu. Biar saya uruskan, Wahyu. Malam saya tukar Ibu di Hospital. Boleh saya bertukar pendapat sambil membimbing dia dalam mencari keredhaan Allah."

Terkedu Encik Ahmad Fikri mendengar penjelasan daripada Eamad Faliq.

"Alhamdullilah. Lega hati Ayah, bila Wahyu sudah redha dengan ketentuanNya. Faliq, bantulah dia." Senyuman lebar menghiasi wajah Encik Ahmad Fikri.

"Insha Allah, Ayah. Kita berdoa agar dia benar benar bertaubat. Sedar dengan kesilapan yang telah dia lakukan." Belum lekang lagi senyuman dibibir Eamad Faliq.

Aerwyna Aberdeen menghempas nafas lega apabila secara tidak langsung halwa telinganya mendengar Wardina Wahyu semakin sembuh. Sekurang-kurangnya perasaan bersalah berkurangan.

"Faliq, tadi... Wiena cari. Mungkin ada benda dia nak bincangkan dengan kamu. Jumpa tengah hari nanti." Encik Ahmad Fikri bangun keluar dari bilik Eamad Faliq.

Tergopoh-gapah Aerwyna Aberdeen melarikan diri sebelum Encik Ahmad Fikri membuka pintu bilik pejabat Eamad Faliq. Debaran menderu dihati, mengawal ketakutan kerana mengintip perbualan Eamad Faliq dan Encik Ahmad Fikri.

"Hahh! Buat apa?" Jerkah Nur Sawsan dari belakang.

Aerwyna Aberdeen mengurut dada kerana terkejut.

"Kamu ni Beb... agak-agak la boleh mati terkejut dibuat you macam tu."

Nur Sawsan menyeringai.

"Sikit ajer la... sekali sekala bagi you terkejut. Dah buat air ke belum ni? Kopi Sri Aman yang you bawa hari tu ada lagi tak?"

Aerwyna Aberdeen mengoyak senyum sambil menggeleng-geleng.

"Ada lagi. Buat untuk satu mug boleh?" Wiena mengedip-ngedip mata.

"Hishhh... tak senonoh betul buat macam tu. Nanti I buat bagi you. Dah jumpa Encik Faliq? Tadi bagi tahu nak jumpa dia." Nur Sawsan membancuh air kopi mereka berdua.

Aerwyna Aberdeen menggeleng.

"La, kenapa tak jumpa lagi?" Nur Sawsan memberhentikan tangan yang sedang mengacau kopi dan menumpukan perhatian kepada Aerwyna Aberdeen.

"Tadi ada Encik Ahmad Fikri la, dalam bilik Encik Faliq. Sekarang nak jumpa dia lagi." Wiena berpusing dan menyusun langkah untuk berjumpa dengan Eamad Faliq.

Perlahan Aerwyna Aberdeen mengetuk pintu bilik pejabat Eamad Faliq.

"Masuk." Suruh Eamad Faliq.

Lebar pintu dibuka oleh Aerwyna Aberdeen dan dibiarkan tanpa bertutup.

"Morning, Faliq. Sembab mata tu. Tak cukup tidur ke?" Ceria Wiena bertanya khabar.

Terbelalak Eamad Faliq disapa oleh Aerwyna Aberdeen.

"Ceria semacam pagi ni. Apa cerita?"

Aerwyna Aberdeen menjegilkan matanya.

"Saya tanya dulu, so you need to answer my question first."

Tersenyum lebar.

"Malam tadi temankan, Wahyu bermalam di Hospital. Mana tak sembab mata."

"Oooo... lama lagi ke dia kena admit?" Wiena sekadar berbasa basi dengan Eamad Faliq.

"Tak tahu lagi. Bergantung dengan keadaan, Wahyu. So what's up?"

Aerwyna Aberdeen mengatur cara duduknya. Memberi lebih perhatian kepada perbincangan mereka.

"Berkenaan dengan Projek usaha sama kita dengan Syarikat Gill, semua sudah siap. Cuma perlukan you untuk buat pemantauan. Yang ni failnya." Fail tersebut diserahkan kepada Eamad Faliq.

"Thanks, Wiena. Banyak kerja you tolong I semenjak kebelakangan ini. Kalau penat bagitahu I."

"It's okay. Sikit sahaja pun. I minta diri dulu la, Faliq."

Aerwyna Aberdeen meninggalkan Eamad Faliq di situ untuk meneruskan kerjanya. Niat untuk melawat Wardina Wahyu menggasak hati sekali lagi.

P/S... Jumpa di Bab 19

Semoga ceria selalu. Terima Kasih kerana sudi singgah di blog saya. 

F/B :- https://m.facebook.com/home.php?ref=wizard&_rdr#!/findfriends/browser/?soft=side-area











No comments:

Post a Comment