Wednesday 18 March 2015

Nafas Cinta Bab 18

Di ruang depan banglo, Uncle Samuel terhendap-hendap di sebalik tiang besar rumah Madeline Sumang. Susuk badan wanita yang berjalan semakin menghampiri, sekian lama tidak dilihat olehnya. Kali terakhir pertemuan mereka adalah lebih tiga puluh tahun.

Dari kekecohan di luar sebentar tadi, dia dapat meneka bahawa wanita muda ini adalah adik-beradik Maximus Randell. Lagi dua orang lelaki, dia lihat telah mengikut Maximus Randell ke rumah sebelah. Apa yang mereka buat bukan pula urusannya...

"Rita, tak sangka. Sanggup kau buat begini kepada anak-anak kita."

Pelik Lisa Mary melihat lelaki tua yang agak selekeh menegurnya dengan nama arwah Mak. Bukan hanya melihat dengan cara biasa, habis dibelek-belek oleh lelaki tua itu keadaan diri Lisa Mary. Naik rimas dan segan pula Lisa Mary.

"Old Paaa...." Panggil Carl Blume dari celah muka pintu depan. Riak terkejut sedikit terpamer di wajah anak kecil itu. Perempuan cantik di depan dia dan Uncle Samuel tidak pernah kelihatan selama ini.

"Auntie, nak beli orkid kat sana."

Alahaiii, Lisa Mary, si kecil ini dengan mudah memberikan satu kesimpulan. Cerdiknya dia!

"Auntie, bukan nak beli orkid tapi Auntie datang nak jumpa Carl, Leya dan ibu...."

"Macam mana Auntie boleh tau nama saya?" Soal Carl Blume dalam keadaan pelik. Sudahlah, ini kali pertama mereka berjumpa. Belum lagi dia memperkenalkan diri, Auntie di depan sudah pun tahu namanya.

Lisa Mary tersenyum lebar. Ada-ada sahaja celoteh si comel ini.

"Serba serbi Auntie tahu mengenai Carl, Leya dan Mummy. Tak adil kalau Carl tak kenal, Auntie."

"Siapa bagi tahu, Auntie?"

"Carl boleh tanya, Daddy...."

Semakin lebar senyuman Lisa Mary bila melihat Carl Blume berlari ke rumah sebelah. Tiada tujuan lain, melainkan utuk mengesah cerita Lisa Mary.

"Uncle kenal, Mak saya?"

"Clara Rita Edmund?" Tanya Uncle Samuel.

"Ya."

"Rupa kamu saling tak tumpah dengan Rita. Dia, apa khabar?"

Lisa Mary mengerutkan kening. Siapa lelaki tua ini? Dia kenal arwah Mak. Tetapi...

"Mak dah tak ada, Uncle. Hampir dua minggu dia meninggalkan kami."

Uncle Samuel mengaru-garu kepala. Boleh pula dia terlupa hal mengenai ibu Maximus Randell.

"Maafkan Uncle. Maklumlah... daya ingatan tak berapa kuat. Uncle lupa... Max dah cerita."

"Tak apa. Bagaimana Uncle boleh kenal, Mak?"

"Oh! Panjang ceritanya... Rasanya, Mak kamu tahu cerita sebenar May. Sebab itu dia berkeras menolak May."

"Cerita apa, Uncle? Boleh ceritakan?"

Uncle Samuel menarik nafas lemah. Tiada cara lain. Terpaksa juga dia membongkarkan satu lagi cerita menarik di antara dia dan Clara Rita.

"Boleh. Tapi biar May dan Max ada sekali. Senang. Biar mereka dengar dengan jelas."

Lisa Mary merenung semula lelaki  tua di hadapan. Kelihatan berat juga perkara yang dirahsiakan oleh Uncle Samuel. Barangkali cerita yang menarik ini lebih elok kalau dikongsikan saat mereka berkumpul bersama.

"Kalau macam tu, kita tunggu mereka. May, ada?"

"May? Dia ada kat dalam. Masuklah. Tadi dia ada di dapur."

"Saya masuk dulu, Uncle."

Baru sahaja Lisa Mary hendak melangkah masuk ke dalam rumah, matanya menangkap langkah kaki Madeline Sumang semakin menghampiri ruang depan.

"Lisa? Datang dengan siapa?" Tegur Madeline Sumang. Lehernya dipanjangkan ke luar rumah.

"George dan Suffian."

"Suffian?" Masih seperti tadi, mata Madeline Sumang masih mencari orang yang menemani Lisa Mary.

"Kenal tak dengan Suffian?"

"Tak berapa ingat. Mungkin kenal mungkin tak."

"Oh! Tak apa. Nanti boleh kenal. Mereka ada dengan Max."

"Papa... tak nak masuk?" Tanya Madeline Sumang kepada Uncle Samuel yang kelihatan khusyuk memandang dia dan Madeline Sumang berbual. Entah ke mana fikiran orang tua itu melayang? Sukar untuk diteka!

Uncle Samuel geleng kepala.

"Masuk dulu. Papa nak rehat kat luar. Tunggu mereka kat sini."

"Lisa, jom kita masuk dulu. Maaf, tak prepare apa-apa. Max tak cerita pun bahawa ada tetamu akan datang."

Lisa Mary tersenyum. Senang hatinya dengan layanan Madeline Sumang. Mesra tidak sombong, baik budi bahasa. Jauh sekali dari layanan arwah Mak dahulu. Ketika itu, seolah-olah ada duri menyucuk hati Lisa Mary.

"Oh! Max pun tak tahu Akak nak datang. Dia ingatkan Pian seorang sahaja. Akak dengan George... tak senang hati. Lagipun Akak nak jumpa May dan budak-budak."

Madeline Sumang diam. Tak silap pada pendengaran, kata ganti nama Lisa Mary sudah berubah. Kakak? Perlukah dia memanggil Lisa Mary begitu?

"May, Akak minta maaf. Bagi pihak arwah Mak. Kalau tak kerana Mak, May dan anak-anak tak akan jadi macam ni."

Madeline Sumang tunduk. Jari Lisa Mary di pergelangan tangan dipandang seketika. Betulkah segala rawan di hati selama ini sudah terhapus dalam masa sesingkat ini? Atau haruskah dia menelan segala kepahitan kerana menjaga hati yang lain?

"Lisa?"

"Panggil, Akak... May." Bantah Lisa Mary. Dia faham perasaan Madeline Sumang sedang berperang sendiri. Tetapi, dia tidak mahu mengalah dengan perasaan Madeline Sumang. Dulu dia pernah berdiam. Sekarang, dia tidak akan berbuat begitu lagi. Masa depan anak-anak Madeline Sumang dan Maximus Randell menjadi keutamaannya.

Madeline Sumang menggeleng.

"Saya beri keputusan kepada Max lagi...."

"Oh! Tak apa, May. Lagipun umur Akak tetap lebih dari umur May. Lebih elok panggil saya, Akak."

Madeline Sumang mengangguk.

"Berkenaan May dan Max... Walau bagaimana sekali pun, kami kena masuk campur. Dulu Akak diam. Keputusan Max, Akak turutkan. Tapi... sekarang Akak rayu May... untuk anak-anak, beri peluang kepada Max perbaiki kesilapan dahulu." Pujuk Lisa Mary dengan nada sebak. Dia boleh mengagak bahawa jawapan Madeline Sumang masih sama berkenaan lamaran Maximus Randell. Tak apa, andai memerlukan dia merayu bagi pihak si adik, dia akan buat juga. Kesungguhan dan penderitaan Maximus Randell selama ini tidak mungkin akan ditolak ke tepi.

"Beginilah... dulu saya pernah melakukan kesilapan besar semasa memilih Max tanpa meminta pandangan Ayah dan Ibu."

"Maksud, May?"

"Saya masih ada Ayah... kali ini saya serahkan jodoh saya kepada Ayah."

Apabila Madeline Sumang membabitkan ayah untuk menentukan pilihan hidupnya, sudah pasti ia tidak akan menjadi perkara mudah. Tetapi apa daya Lisa Mary? Dia hanya mampu berserah, yang hendak hidup dengan si adik adalah Madeline Sumang. Tidak mungkin baginya melebihi batas akalnya untuk mempertahankan Maximus Randell.

"Kalau macam itu, Akak akan ajukan niat Max kepada ayah May. Besar harapan Akak untuk melihat May dan Max bersatu menjadi sebuah keluarga. Ayah May...." Lisa Mary merenung semula wajah Madeline Sumang. Mencari sambungan ayat yang sesuai untuk meneruskan kata-katanya.

"May tahu tak, Max pernah jumpa Ayah May sebelum Max sampai ke sini?"

Madeline Sumang menarik nafas panjang.

"Akak, saya tak tahu mengenai hal ini. Tapi... apapun biar ayah yang putuskan. Saya akan ikut keputusan ayah."

"Kebahagiaan diri sendiri harus diputuskan diri sendiri, May. Kenapa pula nak suruh ayah kamu putuskan hal mengenai kebahagiaan kamu?" Uncle Samuel menyampuk dari belakang Lisa Mary. Dia tidak yakin keputusan Ayah Madeline Sumang akan menyebelahi Maximus Randell. Padahal dia menginginkan Madeline Sumang dan Maximus Randell bersatu. Di matanya, mereka masih saling menyintai.

Madeline Sumang duduk di ruang tamu sambil bermain dengan jari jemarinya.

"Duduk, Kak."

Lisa Mary melabuhkan diri di sebelah Madeline Sumang. Matanya masih fokus kepada kegelisahan wanita itu.

"Papa... banyak yang saya perlu fikirkan mengenai kebahagiaan saya. Salah satunya adalah ayah. Saya tak akan bahagia kalau ayah sentiasa sedih dan menyalahkan saya kerana kematian ibu. Saya tak boleh terlalu pentingkan perasaan saya sendiri...."

"Perasaan anak-anak kena fikirkan juga, May."

"Anak-anak saya akan didik untuk belajar menerima kenyataan hidup di dunia ini, Kak."

Langkah kaki Maximus Randell terhenti di hadapan pintu banglo. Setiap butir ayat yang baru diluahkan oleh Madeline Sumang tersemat kemas di dalam fikirannya. Apakah permintaan pagi tadi sudah ditolak ke tepi oleh Madeline Sumang?

"Daddy? Masuklah!" Carl Blume menarik lengan Maximus Randell. Namun tak bergerak juga. Seolah-olah kaki Maximus Randell sudah digam di atas lantai.

"Max, jom la... tercegat kat sini buat apa? I dah rindu nak jumpa, May." George Ralph menolak lembut bahu Maximus Randell. Dia dan Suffian Ilhan tertinggal beberapa langkah di belakang Maximus Randell. Oleh kerana itu mereka tidak sempat mendengar luahan hati Madeline Sumang.

Hanya gelengan Maximus Randell yang menyahut gesaan George Ralph. Dia pusing badan semula. Membawa diri jauh dari banglo Madeline Sumang. Mana mungkin dia mampu menipu rasa hatinya. Harapan yang mula terkumpul pagi tadi, nampak gaya semakin menipis melalui luahan hati Madeline Sumang sebentar tadi.

"Eh! Max... nak ke mana pula? Tadi, tak sabar ajak kami datang ke sini...." Tegur Suffian Ilhan. Riak wajah masam Maximus Randell mengusik minda Suffian Ilhan. Keceriaan Maximus Randell tidak akan pudar melainkan ada sesuatu yang telah mengusik hati lelaki itu.

Riuh rendah di luar mengundang perhatian mereka yang ada di ruang tamu. Madeline Sumang lantas bangun dari tempat duduk. Jelingan tajam Lisa Mary dapat ditangkap oleh akal. Pasti Maximus Randell sudah mendengar apa yang telah dikatakan olehnya.

"George. Err...." Madeline Sumang menarik senyum kecil ke arah Suffian Ilhan. Wajah lelaki ini baru baginya.

"Hi, May... I am Suffian. Sepupu Max. Kita belum pernah berjumpa, kan? But your name tak pernah kering dari mulut Max, George dan Lisa. In fact... minggu ini paling glamour nama you disebut di rumah." Suffian Ilhan tersenyum mesra. Dalam kepalanya menconggak tindakan Maximus Randell dahulu. Sayang sekali, kenapa si sepupu boleh melepaskan wanita cantik ini.

"Err... hi, Suffian." Gagap  Madeline Sumang menyambut keramahan Suffian Ilhan.

"Panggil I, Pian...."

Madeline Sumang mengangguk lalu memandang sekilas ke arah George Ralph.

"Masuklah, George, Pian... Lisa dan Papa ada kat dalam. Saya keluar sekejap."

George Ralph menala mata ke arah ayunan laju Madeline Sumang. Manakala Suffian Ilhan terpegun di sebelah George Ralph.

"Ilhan?"

"Evelyn?"

"Oh my god! This is really good to meet you again."

"I masih tak percaya. Lama tak jumpa you, Eve... mana you pergi?"

George Ralph tepuk dahi. Dia sudah hilang di mata Suffian Ilhan. Keterujaan terlampau di antara Evelyn Menti dan Suffian Ilhan terlalu ketara.

"Amboi, Pian... kalau nak mengimbas kenangan lama pun, aku kat sini kena ingat juga."

Suffian Ilhan tersenggih.

"Evelyn, kenalkan Abang ipar Max. George... isteri dia ada kat dalam sana."

"Hissshhh! Tau la. Aku ada bini. Tak payah la dicanang sangat." Usik George Ralph.

"Eve, ini... Leya, kan?"

Evelyn Menti mengangguk.

"Boleh saya pegang dia?" Pinta George Ralph lembut. Wajah comel kanak-kanak itu sangat menyentuh perasaannya. Tambahan lagi dia tahu keadaan sebenar Cattleya Orked.

Setelah melihat Cattleya Orked menyambut huluran tangan George Ralph lalu Menti menyerahkan Cattleya Orked.

"Leya, tak berapa sihat. Malam tadi dia demam."

"Kesian anak Uncle... Leya demam lagi?" Dahi Cattleya Orked disentuh sekejap. Suhu badan masih suam.

"Demam lagi?" Soal Lisa Mary. Tangannya sudah pun melilit tubuh Cattleya Orked. Dikendong ke tempat duduk tadi.

"Sikit lagi tu, Kak. Malam tadi hangat sangat badan Leya. Nasib baik ada Max. Boleh juga dia tolong turunkan panas badan Leya."

"Akak, harap kamu boleh tolong pujuk kakak kamu, Eve. Kesian budak-budak ni... perlu bapa perlu ibu untuk menjaga mereka. Dalam keadaan Leya macam ni, Akak rasa Max dapat membantu dengan lebih teratur."

"Mulut saya dah berbuih, Kak. Lama dah saya suruh May cari Max. Tapi... dia tak nak dengar cakap."

"Biar la mereka uruskan sendiri. Kita doakan yang terbaik bagi mereka." Ujar George Ralph. Walhal perasaan dia sangat sendiri tidak berapa bersetuju dengan keputusan Madeline Sumang. Tetapi, andai itu pilihan Madeline Sumang, dia pun tidak mampu mengubah keputusan tersebut. Hidup Madeline Sumang sepatutnya ditentukan oleh dia sendiri. Orang lain tidak berhak untuk campur tangan.

"Lama kamu berdua dah kenal Eve, Pian?" Tanya Lisa Mary.

Suffian Ilhan memandang wajah Evelyn Menti seketika.

"Kami kenal masa sekolah lama dulu, Kak...." Jawab Evelyn Menti bagi pihak mereka berdua.

Lisa Mary tersenyum. Silih berganti dia memandang muka Suffian Ilhan dan Evelyn Menti. Suka sangat dia melihat wajah serba salah si sepupu.

"Pian, rakan sekolah sahaja atau lebih dari kawan?"

"Akak!"

Lisa Mary tersenggih lagi. George Ralph mengulum senyum.

"Kami tak ada apa-apa, Kak. Hanya rakan sekelas." Jawab Evelyn Menti dengan muka hangat membahang. Usikan Lisa Mary membunuh setiap sel darah merahnya.

Renungan Suffian Ilhan mematikan kata-kata yang bakal diluahkan sebentar lagi. Tanda amaran dari renungan tajam lelaki itu dapat dibaca dengan jelas.

"Eve, tak kahwin lagi kan?" Kadang-kadang mulut Lisa Mary berbisa. Soalan yang begitu sensitif begini boleh disentuhnya.

Evelyn Menti diam. Kepala digeleng. Malu, dia letak ke tepi. Dia sedar bahawa hakikatnya, dia masih belum berpunya.

"Lisa!" Tegur George Ralph.

"Pian? Anak dara orang, jangan dipandang terlalu lama. Nak, pergi pinang terus." Provoke Lisa Mary lagi.

Evelyn Menti bangun dari tempat duduk. Hangat darah di wajah tidak dapat ditahan lagi. Telahan Lisa Mary sangat-sangat mengusik naluri kewanitaannya. Malu, malu, malu!

Dari awal tadi, Uncle Samuel tersenyum-senyum melihat wajah serba tak kena di antara teruna dan dara. Hati tuanya sama seperti Lisa Mary. Dia dapat membaca ada sesuatu yang disembunyikan oleh dua anak muda ini.

"Hissshhh! Lisa dah la tu. Malu dah, Eve tu...." Tegas George Ralph. Kesian pula dia melihat wajah merah merona Evelyn Menti.

Suffian Ilhan pula menyandarkan tubuh di kerusi empuk. Bahasa badan Evelyn Menti perlu disusul kemudian nanti. Sepanjang dia mengenali Evelyn Menti, dia amat menyenangi perangai wanita itu. Setiap tindak tanduk Evelyn Menti selalu menjadi perhatiannya. Tetapi... kenapa pada waktu itu, dia tidak pernah terfikir untuk memulakan langkah?

####

Rossa terjengguk-jengguk melihat gaya Madeline Sumang mengetuk pintu rumah sementara Maximus Randell. Tadi dia ternampak Maximus Randell tergesa-gesa balik. Tidak lama selepas itu dia mendengar hempasan kuat pintu rumah itu. Bertan-tan perasaan penuh tanda tanya bermukim di hatinya.

"Rossa, nampak Max tak?" Tanya Madeline Sumang

"Tadi, saya nampak. Dia baru masuk."

"Max! Buka pintu." Nyaring suara Madeline Sumang memanggil.

Tidak lama kemudian, pintu terbuka. Maximus Randell menjeling tajam waja sunggul wanita yang sedang berdiri di depan pintu.

"Buat apa datang ke sini? Bukankah you, dah tolak I dari kehidupan you?"

Terdorong ke belakang tubuh Maximus Randell bila ditolak kasar oleh Madeline Sumang.

"Macam budak-budak, marah tak tentu pasal."

"I berhak marah, May. You boleh sesuka hati serahkan soal jodoh you kepada ayah."

"Dia ayah saya, Max. Dia masih berhak untuk menentukan Soal jodoh saya."

"Oh! Senangnya, you buat keputusan. Habis tu, kalau ayah tak setuju, you nak buat apa dengan I? Buang I? I tak boleh hidup, May. Tanpa you... I tak boleh bernafas. Baik you tanam I hidup-hidup kalau you berniat untuk menyingkir I dari kehidupan you. Senang cerita! You pun boleh puas hati!"

Bulat mata Madeline Sumang. Maximus Randell telah membangkitkan amarahnya.

"Jadi, begitu mudah you hendak mengalah? Tanpa berjumpa ayah, you sudah mengandaikan bahawa, ayah tak akan menerima you."

"Apa lagi, yang I boleh fikirkan, May? Bukan you tak tahu ayah tengah marah."

"Betul, ayah marahkan kita. Disebabkan hal ini, kita perlu berdepan dengan ayah. Kahwin tanpa persetujuan ayah akan merumitkan lagi masalah kita dengan ayah." Madeline Sumang menjeling ke arah pintu. Lega bila dia tidak melihat kelibat Rossa. Parah, kalau Rossa cuba menelinga perbalahan dia dan Maximus Randell.

Setelah menimbangkan pendapat Madeline Sumang, terpujuk sedikit hati yang sedang menggelegak. Bibir Maximus Randell mula mekar semula.

"Jadi, you setuju?"

Laju Madeline Sumang menggeleng.

"Saya tak kata apa-apa lagi...."

"May!"

"What? Saya tak nak jawab. Biar ayah yang putuskan. Dia tak setuju you kena pujuk. Itupun kalau you betul-betul sayangkan kami...." Tegas Madeline Sumang. Riak wajah keliru Maximus Randell tidak diambil peduli olehnya. Biarlah dia berteka-teki dengan jawapan yang telah diberikan.

"May?" Lembut Maximus Randell merayu. "Please...."

"Tak ada! Uruskan dengan ayah."

"Betul ni?"

"La, betul la... you cari ayah. Keputusan ada di tangan ayah."

Maximus Randell merenung tajam wanita di depan.

"Ayah setuju, you setuju?"

Madeline Sumang mengalih muka ke arah lain. Timbul perasaan segan dengan pandangan mata Maximus Randell.

"Saya setuju dengan pilihan ayah."

Setelah mendengar jawapan positif dari Madeline Sumang, lalu Maximus Randell tersenyum lebar. Bunga bahagia sedang menari rancak di depan matanya.

"Baiklah, esok I suruh Lisa dan George berjumpa dengan ayah untuk urusan kita."

No comments:

Post a Comment