Saturday 24 May 2014

KCK Teaser 3

Keindahan taburan kerlipan bintang di langit petala tujuh, belum bisa membuang tujuan utamanya datang ke sini. Hatinya tetap menderu resah dan gelisah bersatu dengan deruan air deras yang mengalir ganas di sungai sebelah sana. Dia sedar, memenangi semula hati Aerwyna Aberdeen kali ini bukannya mudah.

Lama dia menyedut dan menghembus kepulan asap itu. Bagaikan masalah besarnya boleh menghilang bersama berbatang rokok yang sudah ditenyeh. Hancur lumat dalam bekas tin sardin yang sudah berkarat.

"Bila mula merokok?" Aerwyna Aberdeen tiba-tiba menyoal dari celah daun pintu. Entah lama mana dia sudah berada di situ pun tidak pasti. Bahunya disandar ditepi pintu. Kedua belah tangan disilang di dada. Pijama warna putih dipakainya dengan rambut separas bahu dilepas bebas.

Bujang Senang tidak sanggup mengedipkan matanya. Begitu lama dia merindui seraut wajah yang berada di depannya. Tetap cantik seperti dahulu tetapi kekurangan seri di mukanya. Senyuman manis Aerwyna Aberdeen belum terukir di bibir munggilnya... wajah tersebut masih ketat!

"Semenjak awak tinggalkan aku."

Begitu drastik ke pemergian Aerwyna Aberdeen? Seseorang yang membenci rokok satu ketika dahulu boleh menjadi perokok tegar.

"Patutlah, kurus kering! Tahu berbahya untuk kesihatan, kenapa nak hisap juga?"

Bujang Senang menyedut kali terakhir sebatang rokok itu. Puntung itu dihancurkannya di dalam bekas tin sardin tadi. Dia melangkah perlahan menghala ke arah Aerwyna Aberdeen.

"Come. Kita berbual dengan cahaya lampu pam di dalam bilik. Sejuk di luar ni." Dia terperasan Aerwyna Aberdeen mendakap ketat badannya sendiri.

Aerwyna Aberdeen menyusul Fabian Freston dari belakang. Dia cuba untuk menyesuaikan diri sendiri dengan keadaan mereka sekarang. Jarak masa yang lama, sudah tentu memberi impak kepada perhubungan mereka.

"Kenapa merokok, Fabian. Look at yourself now. You sakit ke?"

Fabian Freston menatap anak mata Aerwyna Aberdeen. Si isteri sebetulnya begitu tulus ingin mendapatkan jawapannya.

"Aku merokok kerana rindu. Kalau aku kelihatan sakit juga kerana aku rindu. Rindu itu adalah kamu, Wiena... isteri yang aku rindui saban hari."

Pembohong besar, Aerwyna Arbedeen seandainya tidak terkesan dengan ayat-ayat bermadah Bujang Senang. Lalu dia melarikan wajah, lebih rela memandang kesuraman siling. Menyaksikan dua ekor cicak saling menjeling manja sesama sendiri.

"Aku tidak tahu bahawa aku boleh menjadi seperti si pungguk. Apakah malam ini, akan tertuntas rindu pungguk pada bulan?" Bujang Senang mengulum senyum. Dibias suram cahaya lampu pam, wajah Aerwyna Aberdeen sudah bertukar merah. Masih membisu, terkelu lidah!

Tiba-tiba pula Fabian Freston menjadi sang pujanga. Boleh berpuitis mencuba nasib memikat si isteri. Dari dalam rumah berselang seli dengan nyanyian cengkerik, sayup-sayup si pungguk memanggil-manggil si bulan. Menambahkan lagi mood pikat memikat sepasang burung serindit. 

"Aku tanya pasal rokok, yang kamu melalut sampai ke pungguk dan rindu, apa ke hal?" Aerwyna Aberdeen mencebik. Faham sangat dengan makna ayat-ayat memancing Bujang Senang.

"Aikk! Aku cakap, betul. Tak percaya? Meh tekap telinga di sini!" Bujang Senang mendepakan kedua belah tangannya. Meluaskan dada yang penuh dengan tulang rusuk.

Aerwyna Aberdeen terkedu, hatinya sedikit terusik. Kali pertama, dia melihat tulang rusuk itu timbul. Adakah disebabkan oleh tulang rusuk yang hilang itu? Kalau betul, maka dialah tulang rusuk di sebelah kiri tersebut. Tempatnya adalah di situ bersama dengan yang lain.

No comments:

Post a Comment