Thursday 13 August 2015

Nafas Cinta Bab 23

Terngiang-ngiang suara riang Maximus Randell mengkhabarkan berita baik. Teruja sangat Maximus Randell semasa menceritakan penerimaan Madeline Sumang dan temu janji mereka malam tadi. Lisa Mary tumpang gembira. Lama sangat dia tidak mendengar ketawa yang sangat ikhlas si adik.

Mengantuk macam mana sekalipun malam tadi, dia tetap melayan Maximus Randell. Setiap perbualan mereka malam tadi bermain semula pagi ini. Dia menerangkan satu persatu kisah Maximus Randell dan Madeline Sumang kepada si suami. Tidak satu pun yang tertinggal. Biarlah mereka sama-sama kongsi rasa gembira ini.

Pagi ini, bagaikan satu permulaan baru bagi Lisa Mary. Satu lagi aliran kebahagiaan sedang mengisi rumah ini. Kebahagiaan adik yang dia inginkan selama ini. Tidak lama lagi rumah di atas bukit ini akan menjadi lebih meriah dengan penambahan bilangan ahli keluarga.

Sekali lagi Lisa Mary meminta jasa baik Inak Idut dan Inak Laing untuk menjaga anak-anaknya semasa dia tiada di rumah nanti. Hajat adik perlu didahulukan. Sebab itu, dia telah mengajak George Ralph ke rumah Abang dan Ayah Madeline Sumang tengah hari ini.

Jauh Lisa Mary memasang angan. Berkemungkinan dua tiga hari lagi, rumah ini akan dibanjiri sanak saudara dari jauh dan dekat. Mengikut kehendak Maximus Randell jauh malam tadi, kenduri kahwin cuma diadakan di rumah mereka sahaja. Mereka pula tidak mahu melengahkan lagi majlis yang dinantikan selama ini.

Maximus Randell dan Madeline Sumang hanya memerlukan kelangsungan majlis mereka secara sederhana. Tidak perlu majlis besar-besaran.

Lain pula pada pandangan Lisa Mary dan George Ralph, alang-alang sudah ada majlis nikah kahwin baik dibuat secara besar-besaran. Lagipun, bukan selalu rumah di atas bukit ini menjamu saudara mara dan jiran tetangga. Inilah peluang bagi mereka beramah mesra dengan orang kampung, memecahkan tradisi yang telah arwah Mak tanamkan dahulu.

Maka, awal pagi tadi Libau dan Michael telah dikerah oleh George Ralph untuk mencuci dan mengemas kawasan luar rumah dari sampah sarap dan kotoran minyak dari lori sawit mereka. Termaksuklah Bengkel Lori Sawit perlu dikemas dan dicuci bersih juga.

Libau dan Michael tidak membantah. Dengan rela hati menawarkan diri untuk mencari kayu api juga. Kenduri di kampung biasanya memasak pun cara bergotong-royong. Itu yang akan lebih memeriahkan suasana kenduri. Bermacam pelan sudah disusun oleh George Ralph, Libau dan Michael. Termasuklah berkenaan dengan menumbangkan seekor lembu yang dibela oleh George Ralph.

Dicadangkan oleh Libau dan Michael lembu jantan yang agak liar. Suka sangat terlepas dari kandang. Inilah masa yang paling sesuai, ditumbangkan sempena kenduri Maximus Randell dan Madeline Sumang. Selepas disembelih untuk kenduri Maximus Randell, lembu jantan tersebut tidak akan menyusahkan mereka berdua. Biasanya kalau terlepas, satu kampung  diredah untuk menangkap lembu tersebut.

"Pit tumbang, senang sikit kerja kami dua orang, Pok."

George Ralph senggih. Kasihan pula. Memang betul mereka yang selalu menjadi mangsa kaki menangkap dan mengejar Pit. Tak senang menjejak Pit. Habis denai atau belukar di redah. Tidak ada masalah bagi Pit meredah denai atau belukar. Kulit Pit tebal. Tidak sakit, tidak luka. Lain hal pula dengan orang yang menjejaknya. Habis calar satu badan. Semuanya gara Pit keluar kandang!

"Pit ada dalam kandang, kan? Jangan terlepas pula. Susah nak kesan lembu tu nanti."

"Pit lepas, dia makan penabur aku nanti." Tukas Michael tegas. Menyakitkan hati betul bila memikirkan penat semasa menangkap Pit selama ini.

Sudah lama Michael dan Libau mensasarkan Pit untuk dijadikan korban terdekat. Pendek cerita, Pit adalah senarai pertama untuk disembelih atau dijual. Kalau George Ralph tidak bersetuju, mereka berdua akan mencadangkan George Ralph sendiri menangkap Pit kalau lembu jantan itu terlepas dari kandang. Ingat, mahukah George Ralph mengejar lembu? Silap hari, makan penabur jawabnya? Dari dikorbankan tidak tentu hala tuju baik dikorbankan untuk kenduri Maximus Randell. Ada juga hasilnya.

"Nanti kau periksa Pit, Libau. Pastikan Pit ada dalam kandang. Tak ada, kau berdua tau la, nak buat apa."

"Huh! Tau tangkap. Bawa balik." Jawab Libau.

"Aku tembak terus, Pok." Bersungguh-sungguh Michael menekankan pendapatnya.

George Ralph senggih lagi memandang Michael. Faham sangat makna kata-kata Michael tadi.

"Masalahnya, kita tak boleh tembak Pit. Pit tu kena disembelih dengan cara yang betul. Adik, beradik, saudara mara Muslim kita kan ramai. Kalau tak disembelih mana boleh mereka makan daging lembu tu nanti."

Libau mengangguk. Setuju dengan pendapat George Ralph.

"Aku pun fikir macam, George tadi. Kau ni Michael. Nak buat kerja senang. Nanti kalau Pit tu dah tak ada. Jangan kau rindu Pit tu pula."

"Eleh, kau tu kenapa? Tak ada masa aku nak rindukan Pit. Menyusahkan betul." Runggut Michael.

"Ya, la... Setiap hari kau datang ke sini. Pit tu yang kau cari dulu. Kau nak pastikan dia ada dalam kandang ke tak? Sikit kau nampak kandang Pit tercabut, cepat-cepat kau baiki. Lepas Pit tak ada, kau tak buat dah kerja tu. Pasti ke kau tak rindukan Pit, kalau nampak kandang tu?" Kau yang selalu buat benda tu, kan?" Ulas Libau panjang lebar. Michael mungkin tidak perasan, bahawa satu masa nanti dia akan terkenang-kenangkan Pit. Kenyataannya, walaupun penat, mereka tetap ditemani gelak ketawa semasa menjejak Pit. Banyak kenangan mereka bersama lembu jantan itu.

"Dah lah. Jangan dikenangkan sangat hal Pit. Kalau kau berdua sayangkan dia kita boleh sembelih lembu lain. Simbat pun boleh. Tapi agak tua la. Nanti liat sangat dagingnya." Putus George Ralph. Hari semakin berganjak. Sekejap nanti dia perlu keluar bersama Lisa Mary.

"Nak sembelih Simbat?" Tanya Libau. Kurang pasti dengan soalannya pun. Simbat lembu kesayangannya. Mana boleh suka hati sembelih Simbat.

"Aku bagi cadangan, dah kau berdua macam sayangkan Pit." Usik George Ralph. Masih tersenggih. Suka mengenakan dua orang sahabat baiknya.

"Jangan kacau, Simbat. Lembu tu punya lah jinak. Sembelih Pit." Putus Michael. Tidak mungkin kerana Pit, Simbat pula menjadi mangsa. Sembelih Simbat, lembu yang mana satu boleh dimanja-manjakan nanti? Setahunya tiada satu ekor pun sejinak Simbat. Boleh dipegang. Ala gaya, koboi membelai kuda mereka. Begitu juga mereka memanjakan Simbat. Walaupun seekor lembu, siap ada tanduk tetapi teramat jinak.

"Err... Nanti siapa nak sembelih Pit? Kami tak reti?" Soal Libau.

"Pian kan ada." Jawab Michael.

Libau mengangguk.

"Betul juga. Lupa pasal Pian."

####

Tembol pintu bilik Ayah, dibuka perlahan oleh Igat. Turun naik tarikan nafas di dada Ayah dipandang sayu. Sudah susut badan Ayah sehingga tulang rusuk jelas kelihatan.

‘Kasihan Ayah, tinggal sendiri di kampung….’ Keluh Igat perlahan. Ayah degil, pantang bertembung dengan anak-anak Madeline Sumang. Ada sahaja nada sumbang yang tidak ingin didengar keluar dari mulut Ayah. Lebih parah, kalau terserempak muka dengan Madeline Sumang sendiri.

Igat pegang bahu Ayah. Lalu digoyang perlahan-lahan….

“Ayah, ada tetamu datang.” Ayah bangun. Pasang telinga. Betul. Begitu jelas suara beberapa orang di ruang tamu didengarnya. Begitu ketara suara perempuan yang agak biasa dia dengar. Riuh ruang tamu dipenuhi suasana usik mengusik di antara suara tetamu dan anak-anak Igat. Sekali sekala, Racha mencelah perbualan anak-anaknya dengan tetamu tersebut.

“Siapa kat luar, Igat?”

“Endu Lisa dan suaminya.” Jawab Igat ringkas. Tidak lupa, dia tetap memerhatikan penerimaan si Ayah. Manalah tahu, tiba-tiba orang tua itu naik ‘hantu’. Di mana patut dia meletak mukanya kalau orang tua itu menghalau laki-bini tersebut.

Sinis Ayah memandang Igat. Marah Ayah tidak pernah surut. Walau bertahun kisah memalukan maruah keluarganya telah berlalu. Tetapi dia masih ingat dengan jelas saat maruah anak dipijak-pijak oleh Maximus Randell. Dan kemarahannya meleret sehingga merangkumi kesemua ahli keluarga tunangan si anak. Terutama sekali, marahnya sangat dalam terhadap orang tua yang baru meninggal beberapa hari yang lalu.

“Anak-anak, jadi kurang ajar kerana didikkan orang tuanya. Corak anak-anak mencerminkan keperibadian ibu bapa mereka. Kamu kena ingat benda ini, Igat. Jangan dipandang mudah.” Runggut si Ayah sehingga berjangkit kepada Igat pula.

Apa hendak dibuat? Ada juga, betulnya kata-kata si Ayah. Walaupun bukan semuanya betul. Tetapi tetap ada yang betul.

“Ya lah, Ayah. Igat tau.”

“Jangan kata tau sahaja. Kena buat. Kena ikut. Budak-budak kita senang nak bentuk. Melainkan kalau anak tu cacat macam anak May… Yang tu tak payah cakap lah. Keturunan tidak baik. Bapa ‘hantu’ sebab tu anak dia cacat. Baru padan muka dia.” Tanpa berlapik dan pandang kiri kanan Ayah membebel sehingga ke ruang tamu.

Tidak sedar ke Ayah, bahawa ada beberapa pasang telinga sedang mendengar bebalan yang keluar dari perasaan amarahnya. Amarah lima tahun yang lepas masih terbawa-bawa sehingga ke saat ini.

“Uncle.” George Ralph berdiri lalu menghulurkan tangan kepada Ayah. Namun tidak bersambut. Ayah buat muka sambil lewa. Tidak ingin berbaik-baik dengan Lisa dan suaminya. Payah hendak bersemuka dengan orang besar kepala seperti Ayah Igat ini. Harap menjadilah hasrat kedatangan mereka ke sini. Hajat dari Maximus randell perlu disampaikan. Lagipun hajatnya baik dan perlulah disegerakan.

“Hah! Kamu berdua… kenapa datang ke sini? Kalau datang kutip hutang. Aku tak ada berhutang dengan kamu. Setahu aku, adik dan Mak kamu berhutang dengan aku. Dan hutang itu mereka belum langsaikan sehingga kini. Aku nak nikahkan anak aku pun tidak dapat kerana anak aku masih terikat dengan adik kamu.”

Semua senyap. Membiarkan Ayah meluahkan segala yang terpendam selama ini. Igat dan Racha menjeling sesama sendiri. Adakah hari ini, mereka dapat merungkai sikap Ayah selama ini? Boleh menjelaskan kenapa Ayah terlalu prejudis terhadap Madeline Sumang dan anak-anaknhya.

“Kita hidup bermasyarakat. Ada adat yang perlu di ikut. Sebab itu, orang tua dulu-dulu memberikan panduan, agar kita boleh mencapai kata sepakat dalam apa jua keputusan yang telah dibuat. Ini tidak, adik kamu tidak bertanggungjawab. Begitu juga Mak kamu. Anak dan Mak serupa sahaja!”

“Ayah.” Tegur Igat lembut tetapi tegas.

“Aku cakap benda betul. Aku bukan main-main. Tidak pernah menganggap apa yang telah terjadi adalah benda yang main-main. Tetapi mereka ini sanggup mempermainkan maruah keluarga kita. Mengadaikan maruah adik kamu, Igat. Jangan kamu buat-buat lupa tentang perkara penting ini.”

“Kan benda tu dah lama berlalu. Ayah janganlah simpan terlalu lama. Sudah lah, Ayah.”

“Eh! Perkara besar macam ini, mana boleh kamu pandang ringan, Igat.”

“Saya tahu, Ayah. Dari kita bertelagah di depan mereka, baik kita tanya apa hajat mereka ke sini?” Ujar Igat mematahkan bebelan si Ayah.

“Bagus lah, kamu berdua datang. Boleh saya putuskan pertunangan mereka bagi pihak anak saya. Saya tidak perlu datang ke rumah kamu. Mengingkari arahan May.”

“Apa maksud, Ayah?” Soal Igat terpinga-pinga. “Bukankah mereka sudah putus tunang ketika mereka tidak jadi kahwin?” Sambung Igat.

“Huh! Itulah kamu. Semua hendak diambil mudah. Ada pihak mereka datang berjumpa kita untuk menjelaskan perkara ini? Pernah ke Mak kamu datang, Lisa?”

Lisa geleng kepala.

“Tidak, bukan?”

Lisa geleng lagi.

“Saya nak datang untuk putuskan talian pertunangan mereka tetapi ditegah oleh May. Bersungguh May tidak mengizinkan saya berjumpa Mak kamu. Sampaikan dia sanggup memilih kehilangan kasih sayang saya dari mempertahankan tunangan yang tidak tahu diuntung itu. Sekali lagi dia menentang saya kerana melahirkan anak lelaki yang telah memalukan dia. Yang telah membuang dia. Lelaki yang tidak mahukan dia. Inginkan dia. May sanggup kehilangan saya dari kehilangan kenangan lelaki yang tidak pernah ingatkan dia pun.”

Kelu lidah Lisa mahupun George Ralph untuk mematahkan luahan orang tua itu. Andainya mereka di tempa Ayah. Pasti mereka akan bersikap seperti Ayah juga. Malah mungkin lebih teruk dari Ayah.

“Beginilah Uncle, mengikut kata Uncle… kalau pertunangan mereka tidak putus, maka saya rasa kita tetapkan sahaja hari perkahwinan mereka.” Cadang George Ralph. Manalah tahu, kut-kut Ayah memberikan laluan mudah. Lagipun tidak perlu memanjangkan sengketa yang sedia ada. Dari bermasam-masam muka di antara kedua-dua keluarga, bukankah lebih baik mereka berbaik.

Racha dan Igat membelah bibir. Lega, sekurang-kurangnya nasib budak-budak terbela. Lebih-lebih lagi Cattleya Orked memerlukan pengawasan ketat. Dengan adanya Maximus Randell, bolehlah kesihatan Cattleya Orked terbela.

“Aku nak putuskan pertunangan mereka, supaya May tu boleh kahwin dengan Adam. Bukan nak bagi dia kahwin dengan si ‘hantu’ itu. Jantan tak guna tu, tak layak dijadikan suami anak aku. Dari dulu aku dah cakap, May tak nak dengar. Degil, nak juga dekat Max. Entah apa yang dia dapat bila kena tinggal oleh Max.”

Aku nak putuskan pertunangan mereka, supaya May tu aku boleh kahwin dengan Adam. Bukan nak bagi dia kahwin dengan si ‘hantu’ itu. Jantan tak guna tu, tak layak dijadikan suami anak aku. Dari dulu aku dah cakap, May tak nak dengar. Degil, nak juga dekat Max. Entah apa yang dia dapat bila kena tinggal oleh Max.”

“Ayah!” Tinggi sedikit nada suara Igat menegur tutur kata Ayah yang tidak berlapik pada telinga Igat. Bagi dia, niat sepasang suami isteri itu sudah cukup baik. Dia bersetuju sangat dengan cadangan George Ralph.

“Kamu, tau apa? May tu masih anak aku. Aku berhak nak padankan dia dengan siapa aku berkenan. Lagipun apa kurangnya Adam tu dan apa pula kelebihan Max?” Sangkal Ayah.

“Ayah, Adam tu orang bujang. Kena ingat May tu ada anak. Dan budak-budak tu adalah anak Max, bukan nya anak Adam.” Jelas Igat satu persatu. Tidak bersependapat dengan si Ayah.

“Senang saja cerita. Bagi saja ke dua-dua budak tu kepada Max. Anak dia kan? Dia lah kena bela. Bukan kamu, bukan Racha. Menyemak saja kamu simpan keturunan orang yang tak tau menjaga adap dan maruah orang lain.”

“Pakcik!” Bergetar suara Lisa Mary menyeru nama Ayah. Sampai hati orang tua ini memperlekehkan cucunya sendiri. Walaupun Madeline Sumang bukan anak kandungnya, Ayah tetap tidak berhak menghina budak-budak kecil itu.

George Ralph tidak nampak cara lain lagi, melainkan dia terpaksa masuk campur dalam urusan dua keluarga ini. Walaupun pada luarannya Ayah sudah menunjukkan penolakan, tetapi demi Maximus Randell dan Madeline Sumang dia akan cuba sedaya upaya meyakinkan orang tua ini.

"Pakcik, kami datang membawa hajat baik. Hajat ini juga lahir dari kata sepakat Max dan May yang inginkan restu dari Pakcik."

Tinggi Ayah mengangkat tangan. Mukanya semakin bengis. Langsung tidak menunjukkan ingin bekerjasama dengan cadangan George Ralph.

"Aku dah cakap tadi. Aku tak bersetuju. Aku nak May putuskan apa-apa hubungan dengan keluarga kamu. Tak akan kamu tak faham bahasa aku."

Igat mula mengeleng. Tangan kanan laju mengusap dada. Bisa kata-kata ayah amat menyakitkan hati. Apa sudah jadi dengan Ayah? Sudah cukup baik, keluarga Maximus Randell datang untuk memperhaluskan benda yang dahulu. Ayah pula semakin mahu mengeruhkan keadaan.

Racha mengesat airmata yang mula mengalir perlahan-lahan di pipinya. Siapalah dia untuk melebih-lebih menasihatkan ayah mertua. Sedangkan pendapat anak sendiri pun tidak dihiraukan. Sangat menyedihkan kalau Ayah berterusan membantah niat baik Maximus Randell dan Madeline Sumang. Apabila mengenangkan nasib anak-anak yang tidak tahu apa-apa, lebih menyakitkan hatinya.

Budak-budak kecil itu sepatutnya hidup di dalam satu keluarga yang sempurna. Bukan seperti sekarang. Seorang ke barat seorang lagi ke timur. Akhirnya Racha bangun dari tempat duduknya. Tidak betah dia menahan tanggis. Dari dia meraung di situ dan sakit hati. Lebih baik dia membawa diri ke dapur.

Manalah Lisa Mary tersenyum kelat. Dia faham maksud air muka Racha tadi. Pasti tidak selesa dengan gaya Ayah menyambut tetamu datang ke rumah. Dia jeling ke arah George Ralph. Dia nampak lelaki itu masih tenang. Tidak terganggukah perasaan suaminya itu setelah mendengar kata kasar Ayah? Pandai pula George Ralph menyembunyikan perasaan sebenarnya.

"Ayah... Cukuplah. Tak ada faedah kalau kita terus ingatkan perkara lama. Max datang untuk bertanggungjawab. Memperbetulkan keadaan yang dahulu. Kita bagi peluang kepada mereka. Boleh kan, Ayah?" Pujuk Igat lembut.

Malangnya orang tua tersebut tidak menunjukkan juga rasa ingin berlembut dengan kedatangan Lisa Mary dan suaminya. Malah dia, bangun dari situ. Dibiarkan Lisa Mary dan George Ralph memerhatikan gerak gerinya.

"Balik lah, aku tak setuju. Kalau May teruskan juga niatnya. Maka dia bukan anak aku lagi. Rumah aku bukan rumah dia lagi. Malah dia tiada hak dalam segala harta benda aku. Dia juga tidak berhak untuk menyentuh atau menangisi mayat aku juga."

Ayah pandang Igat.

"Itu keputusan muktamad aku. Apapun pendapat kau, aku tak nak dengar. Kalau kau hormat aku, kau patut hormat keputusan aku. Anak-anak May, kau suruh dia lepaskan. Bagi mereka kepada 'hantu' tu. Aku tak suka mereka juga. Rimas aku tengok mereka. Serupa aku tengok 'hantu' tu juga. Aku tak suka bapa,  anaknya aku pun tak suka juga. Ingat! Jangan bagi aku halang mereka dari memijak kaki ke rumah aku juga."

Ayah tinggalkan mereka bertiga di ruang tamu. Manakala tanggisan Racha di dapur semakin jelas kedengaran. Mereka bertiga diam, mati akal mendengar keputusan orang tua itu. Dan saat itu, andai jarum jatuh pun boleh didengar. Mereka hanya mampu bersuara melalui mata dan bahasa badan.

Keputusan Ayah seolah-olah menjatuhkan hukuman mati terhadap Maximus Randell dan Madeline Sumang. Sanggup Ayah menjatuhkan hukuman yang tersangat berat kepada mereka. Apa pula penerimaan Maximus Randell dan Madeline Sumang bila mereka dikhabarkan keputusan Ayah? Apakah keputusan Madeline Sumang? Adakah dia akan mengikut kata Ayah atau membantah kata Ayah? Ya, Tuhan... Sekali mereka diuji.

Igat bangun mengikut langkah Ayah tadi.

"Ayah, kita bagi mereka peluang?"

"Kau dah dengar keputusan, aku, kan? Jangan naikkan darah aku." Ayah hempas pintu bilik. Permintaan Igat ditolak ke tepi.

Igat menggeleng. Kesal sangat dengan penolakan Ayah. Buntu pula hendak bersemuka dengan Lisa Mary dan suaminya. Ikutkan hati, dia sangat bersetuju dengan niat si adik. Dia tidak nampak bahawa mengahwini Maximus Randell adalah satu kesalahan bagi Madeline Sumang. Tersangat tidak logik Ayah membantah perkahwinan mereka.

"Saya takut Ayah saya lebih teruk dari arwah Mak awak, Lisa. Kesiankan Max dan May.Lepas satu, satu lagi dugaan mereka."

Igat pandang George Ralph pula.

"Saya harap mereka boleh bersabar, George."

"Tak boleh ke kita kahwinkan mereka tanpa persetujuan Ayah awak, Andy?" Tiba-tiba Racha menyampuk. Bukan apa dia simpati sangat dengan nasib dua orang budak yang dia jaga selama ini. Terutama sekali Cattleya Orked. Adanya Maximus Randell maka kebajikkan kesihatan Cattleya Orked akan bertambah lebih baik.

"Aku ingatkan budak-budak, Andy. Mereka perlukan ayah mereka. Bagi aku, benda ini lebih penting dari segalanya." Sambung Racha.

"Bukan kamu, tak kenal May, Racha. Keputusan Ayah jarang dia bantah. Inikan pula sampai menyentuh hal mati lagi."

Diam lagi mereka berempat di situ. Beradu lapan pasang mata. Mencari titik pusingan berkaitan cerita cinta Maximus Randell dan Madeline Sumang. Bagaimana mereka boleh membantu untuk menyatukan kedua hati tersebut?

No comments:

Post a Comment